UdangLipan. Powered by Blogger.

Saturday, November 14, 2009

Pkfz/Nizar - Allah Masih Sayang Pada Mu.

"Pasti kamu sangka Allah membenci dirimu kerana menurunkan bermacam ujian"

Kadang-kadang ujian silih berganti, pasang-surut tanpa henti membuatkan aku pernah bertanya apakah sebab dilahirkan ke dunia ini. Adakah untuk merasai kesakitan dan seribu kepayahan mendatang?

Kata-kata itu terpacul tatkala, aku masih cukup naif agama dan kosong jiwa. Lantas, bertanya kepada seorang tua, di sebuah warung, berhampiran rumah bujang aku kira-kira 15 tahun lalu.

"Pasti kamu sangka Allah membenci dirimu kerana menurunkan bermacam-macam ujian. Jangan bersangka buruk kepada tuhan," kata lelaki beruban, lewat usia 50an itu, membuatkan aku tertunduk.

"Muhammad, kekasih Allah itu dibaling batu, dilempar najis dan kakinya terpijak duri-duri yang sengaja di letakkan di tepi jalan. Giginya patah dan pipinya berdarah sewaktu perang.

"Pernah disihir dan usaha untuk membunuhnya tidak pernah surut. Lawannya sentiasa mengejek dan menghinanya.

"Lalu adakah ujian-ujian itu tanda Muhammad itu dibenci dan dipinggirkan Tuhan?" soalnya lagi dan kali ini air mata aku mula bergelinangan.

Dan dialog itu, terus menerkam sanubari, bilamana aku dihurung musibah. Kadang-kadang aku merasa penat dan adakalanya hampir putus asa. Sebabnya, tak jemu-jemu ujian dan masalah hinggap dalam kehidupan.

Bila aku mengaji dan terbaca terjemahan surah Al-Baqarah, ayat 155, barulah hati aku reda dan tenang semula.

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa (kematian) serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:"

Aku bertanya lagi kepada pakcik itu, kenapa orang lain bahagia, kaya, berjaya dan hidup aman makmur berbanding diriku.

"Sebenarnya kamu lihat dengan mata kepala bukan dengan mata hati...lantas apa yang dilihat hanya zahir semata-mata. Kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan mereka dinilai dengan apa yang ada di depan mata kamu.

"Kamu tidak tahu di sebalik semua itu. Hutang keliling pinggang, penipuan, kesakitan, kepayahan dan ujian-ujian yang dihadapi mereka. Dan tidakkah kamu tahu, ujian paling bahaya adalah ujian kesenangan!

"Jika kita sakit serta susah, kita mengadu dan menyebut Allah tetapi bila sihat dan senang, adakalanya kita lupa dan alpa..." katanya membuatkan aku terdiam seketika.

Ya benar…, kita sentiasa lupa pada-Nya tetapi Allah tidak pernah lupa dan tinggalkan kita, apatah lagi di kala berlaku kesulitan dan kepayahan.

Kira-kira enam tahun lalu, aku menerima panggilan bahawa bapa saudara aku meninggal dunia di utara. Berat sungguh ujian ketika itu. Sudahlah sayu dan pilu, aku yang 'kurang' harta ini pula bercampur-baur antara mahu pergi ataupun tidak menziarahi jenazahnya yang juga merupakan adik kepada bonda tercinta.

Aku di Kuala Lumpur, ibu di Negeri Sembilan dan jenazah arwah di Kedah sana. Kocek, cukup-cukup tampung perjalanan pergi sahaja. Kereta juga uzur. Aku bertawakal dan berserah diri sepenuhnya kepada Allah. Niat aku untuk membawa ibu, dan mengadap arwah buat kali penghabisan.

Dalam perjalanan, hati cukup resah tanpa disedari ibu, isteri yang sedang menyusukan anak sulung. Apakah sampai di sana nanti, aku akan mengemis atau meminta-minta belas ihsan mendapatkan wang untuk 'tambang' pulang.

Ya Allah, aku berdoa, jauhilah diriku dari melakukan sebarang aib dan malu dimuka keluarga.

Selesai pemakaman jenazah, aku ditepuk seorang hamba Allah (pun sudah meninggal dunia empat tahun lalu) sambil bersalam dengan ku.

"Nah, wang belanja sedikit untuk kamu. Pakcik dah pasang niat bila nampak kamu tiba subuh tadi. Pakcik tahu kamu pun susah payah datang sini..." katanya menyebabkan aku menangis termanggu-manggu.

Sangka orang, aku sayu menghadapi pemergian bapa saudara tetapi, aku cukup pilu kerana di sebalik kepayahan dan kerisauan, Allah 'menjawab' keresahan dan kerisauan aku dengan bantuan yang tidak diduga.

Peristiwa kedua pula cukup menyeramkan diriku, ketika dalam perjalanan pulang daripada menziarahi pengebumian jenazah seorang bapa saudara (adik ayahanda aku) di Setiawan, Perak pada tahun yang sama. Waktu itu kira-kira 12 tengah malam.

Entah macamana, aku tersesat mencari jalan susur keluar menuju ke Kuala Lumpur. Kalau tidak silap, aku berpusing di tempat yang sama, sekitar kawasan Chenderung Balai, Teluk Intan.

Malam cukup pekat. Tidak ada 'sebiji' kereta pun pada masa itu yang lalu lalang, apatah lagi orang pejalan kaki untuk aku bertanya haluan. Kiri kanan ladang kelapa sawit dan tiada lampu di sepanjang jalan raya.

Lebih menakutkan, tiada papan tanda atau 'sign board' penunjuk jalan yang kelihatan dan makin mengerikan bilamana minyak kereta sudah hampir habis. Aduhai….. Ya… Allah, aku mengharapkan bantuanMU.

Aku cuba untuk bertenang, supaya isteri yang duduk di kerusi belakang kereta sambil membelai anak berusia setahun tidak berkongsi kepayahan yang dilalui hati nurani ini. Apatah lagi, minyak kereta juga sudah kekeringan yang amat sangat. Lampu minyak, menyala tanpa henti menandakan bahaya bakal menimpa jika tidak diisi.

"Abang... rasa macam lama je... tak jumpa jalan ke?," soal isteri mengesyaki sesuatu.

"Taklah, abang tengah cari stesen minyak ni..."kataku, cuba berselindung. Memang benar kata isteri, sudah lebih sejam aku memandu di kawasan yang sama, sama gelap dan likat tanpa jumpa jalan keluar.

Tiba-tiba aku ternampak sebuah warung dipenuhi orang di sebelah bertentangan kanan jalan. Asalnya mahu gembira, tetapi terbit rasa aneh dan ganjil, bila pula adanya sebuah warung, di sepanjang jalan gelap dipenuhi orang, jam 12 tengah malam. Sedangkan aku sudah melalui jalan tersebut berkali-kali, tetapi baru kini bertemu warung aneh di malam hari. Sesat selama sejam…

Lantas, dengan kocakan dada yang cukup berdebar, aku memberhentikan kereta di kiri jalan. Pada hemat aku, akal, minda dan perasaanku sudah cukup letih dan berselirat sehingga melihat perkara-perkara aneh pula.

"Abang...kenapa berhenti?

"Rehat sekejap...rasa mengantuk sikit," kataku menyembunyikan perasaan takut tadi.

Sah..isteri saya tidak nampak, apa yang saya lihat.

Lalu, dengan kekuatan yang saya ada, saya baca surah-surah pendek seperti al-Ikhlas, al-Kafirun dan an-Nas. Lebih kurang 10 minit juga, saya cebiskan beberapa doa yang diajar bonda antaranya:

"Dengan Nama Allah yang dengan nama-Nya tidak akan memberi mudharat apa pun yang ada di bumi dan di langit dan Dialah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Riwayat Tirmidzi & Abu Daud)

"Ya, Allah selamatkan aku, isteri dan anakku daripada sebarang malapetaka. Kasihanilah anakku yang tidak berdosa," doaku kepada Tuhan sambil merenung sikecil yang tidur lena sejak dari tadi.


Aku menarik nafas panjang, dan berserah pada Allah. Kelibat warung sudah tidak kelihatan dan kemudian aku memandu dan terus memandu tanpa hala tuju.

Tiba-tiba, kurang lima minit aku terlihat sebuah papan tanda tertulis 'Kuala Lumpur' dan lima minit kemudian, sebuah stesen minyak kelihatan di sebuah simpang empat.

Alhamdullilah...., Allah menyelamatkan kami ketika aku berharap benar akan pertolongan-Nya.

Suatu hari, sekitar tahun 2002, kami kehabisan barang keperluan. Ketika itu, dalam hatiku berdoa, janganlah ada tetamu yang datang kerana tidak ada sebarang 'habuk' pun untuk dijamu. Buruk sungguh sikap aku sehingga berdoa begitu. Bukan apa… tetapi aku malu dan khuatir tidak dapat meraikan tetamu dengan juadah yang boleh dijamu.

Ya…, kita fikir perancangan dan doa kita betul padahal Allah itu lebih menyayangi kita. Sebenarnya, sudah diajar jika ada tetamu, jamu dan layan sedaya mampu kerana kehadiran mereka, 'membawa' rahmat dan 'membersihkan' dosa.

Bonda ada berpesan, jika ada tetamu, apa yang ada di dapur jangan disimpan. Jamulah semuanya kerana utamakan tetamu adalah ajaran Nabi dan Agama.

Lantas, selesai sahaja berdoa, tiba-tiba pintu rumah diketuk orang. Doa aku tidak diperkenan, dan tetamu pun datang. Hati aku berbolak-balik. Aku memandang wajah isteri dan memberi isyarat bertenang. Dalam keadaan gelisah, kami mampu jua hidangkan 'teh o bujang' tanpa sekeping biskut pun, sebagai hidangan.

"Tak pa…, kami datang ni nak tengok anak sulung kamu, janganlah susah-susah. Lagipun kami ada hal lain lagi," sambil tetamu bersalaman, mengepilkan wang not RM50.00 ke telapak tangan.

Kemudian, air mata basah mula menjadi teman..., Benarlah kata Tuhan, Nabi dan Agama. Janganlah kita memandai-mandai berdoa yang tidak baik atau berfikir yang bukan-bukan sedangkan Allah tidak pernah tinggalkan kita.

Apa-apa yang kita rasa dan lalui, adakalanya kita rasakan tidak baik bagi kita sedangkan ianya elok untuk kita dan hanyalah Allah sahaja yang mengetahui.

Ujian yang bertindih, bertali-arus adakala membuatkan aku merasa kerdil dan 'menyumpah' diri dengan kata-kata tidak baik seolah-olah dimurkai Tuhan sedangkan ujian itu cukup baik dan manis bagiku selepas itu.

"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Al- Baqarah, ayat 216)

Teringat ketika, putus cinta lantaran kekasih meninggalkan aku, kami sudah menjalinkan hubungan yang agak lama. Remuk hati dan berkecai perasaan. Kasih yang dibaja, kononnya untuk membina mahligai, hancur di tengah jalan. Tahun itu, sekitar 1994.

Aku sujud dan bermunajat duka bahawa selepas ini, hanya Allah sahajalah yang menentukan dan memilih jodoh buat diriku tanpa perlu aku tercari-cari lagi, getus hati kecewa. Aku adukan keperitan yang ditanggung kepada majikan, yang menjadi kawan rapat juga di kala susah. Aku ketika itu berusia 20an manakala majikan/kawan rapat itu, berusia lewat 40an.

"Beginilah... kau rasa kereta proton Satria itu segak bergaya dan cukup cantik bagi kau sedangkan Allah nak 'mengurniakan' sebuah 'Mercedez Benz' bagi kau di kemudian hari... tetapi kau tak tahu lagi.

"Jika suatu hari nanti, kau dah dapat yang jauh lebih baik dari sekarang, jangan lupa beritahu aku," kata bos lelaki itu yang suka membahasakan dirinya sebagai 'aku'.

Ya, setahun selepas berdoa duka lara itu, Allah sekali lagi 'menjawab' keresahan hati aku dan kini aku tersenyum dengan simpulan kata-kata bos lelaki itu tatkala memandang tiga cahaya mata hasil perkongsian kasih nan bahagia bersama jodoh, isteri yang tercinta.

Ya..,. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Dan tidak berlaku sia-sia. Sungguh pun perit dilalui ketika berlaku, di kemudiannya, Allah persiapkan kebahagiaan dan kejayaan setelah lama bersabar.

Dan selepas itu, ujian demi ujian terus datang dari Allah yang cukup sayang pada hambanya dan tidak pernah menghampakan, jika diperlukan.

"Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walau sebesar zarah, dan jika ada kebajikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar" (An Nisaa ayat 40)

Renung-renungkan... lah.

0 comments:

Post a Comment

Sukahati hangpa nak tulih apa pun, Jangan dok maki hamun mencarut cukuplah, hangpa semua dah besaq panjang takan nak kena ajaq kot, boleh pikiaq kot nooo...

Rakan Seperjuangan

Subscribe to updates

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP