UdangLipan. Powered by Blogger.

Wednesday, June 8, 2011

Dua Kisah Menarik...

Berikut merupakan dua insiden yang menarik untuk direnungi oleh orang yang beriman mahupun yang tidak beriman. Satu kisah tentang dosa fitnah walaupun sekadar disuarakan di dalam hati manakala satu kisah lagi ialah tentang kesan pandangan terlarang.

Insiden pertama, peristiwa melekatnya tapak tangan si pemandi mayat pada kemaluan mayat perempuan yang dimandikannya. Kisah ini berlaku pada zaman Imam Malik. Apabila insiden aneh itu berlaku, seseorang telah berjumpa dengan Imam Malik untuk mendapatkan pandangannya. Apakah kemaluan mayat itu perlu dihiris atau tangan si pemandi mayat itu yang harus dipotong..?

Apabila diminta pandangannya, Imam Malik menyuruh ditanyai si pemandi itu sama ada dia telah melakukan sesuatu perkara yang salah dari segi agama. Setelah diajukan soalan itu, lalu terlintaslah jawapan dalam ingatan perempuan si pemandi mayat itu.

Katanya bahawa semasa dia membasuh bahagian kemaluan mayat itu, datang terlintas satu fitnah di hatinya iaitu dia merasakan kemaluan mayat ini agaknya banyak melakukan maksiat semasa hidupnya.

Apabila disampaikan jawapan perempuan ini kepada Imam Malik, lantas Imam Malik menghukumnya qazaf atas fitnahnya tanpa saksi itu. Lalu dijatuhkan sebat sebanyak 80 rotan ke atas pemandi mayat itu. Apabila selesai menerima hukuman, terlepaslah tangannya yang melekat pada kemaluan mayat tadi.

Moral daripada kisah itu ialah betapa besarnya dosa fitnah. Kalau dalam hati pun sudah dikira berdosa, apalagi perbuatan manusia mutakhir ini yang sewenang-wenangnya membuat dan menyebarkan fitnah.


Fitnah sudah jadi seperti sarapan waktu pagi. Selamba sahaja manusia membuat fitnah. Allah tidak menyegerakan balasan kepada pemfitnah adalah sebagai satu bala. Sama seperti Allah tidak menyegerakan bala terhadap Firaun.

Allah beri pemfitnah hidup sepuas-puasnya di dunia transisi ini kerana di akhirat sana Allah telah menyediakan balasan yang amat dahsyat dan kekal abadi.

Insiden kedua pula berlaku terhadap Imam Syafie yang terkenal kerana mampu menghafal al-Quran sejak berusia 6 tahun lagi. Suatu ketika beliau telah hilang sebahagian daripada hafalannya hanya kerana terpandang betis seorang wanita secara tidak sengaja.

Kesilapan yang tidak disengajakan pun telah melunturkan ilmunya. Bagaimanakah pula kita pada hari ini yang penuh maksiat dari siang hingga malam? Agaknya mungkin ada yang berkata bahawa dia lebih hebat daripada Imam Syafie kerana walaupun pelbagai maksiat dilakukan, tidak pula hilang ingatannya.

Mustahil kita lebih hebat daripada Imam Syafie. Yang sebetulnya ingatan kita tidak hilang setelah melakukan maksiat kerana tiada sesuatu ilmu yang bermanfaat pun dalam kepala kita. Jadi macam mana mahu hilang kalau memang kepala sudah kosong.

Moralnya ialah maksiat membawa banyak kesan negatif dalam kehidupan harian kita. Hanya kita sahaja yang tidak menyedarinya kerana ketiadaan ilmu. Kesan negatif itu adalah bala di dunia. Di akhirat kelak, sama-samalah kita maklumi sendiri.

Posted by tok_aji

Read more...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP