UdangLipan. Powered by Blogger.

Thursday, October 25, 2012

Pengurusan zakat usah makan gaji haram!



Shaharul Shafie
Pengurusan zakat usah makan gaji haram!

Saya tersentak apabila membaca jawapan dari Mufti Selangor, Mohd Tamyes Abdul Wahid mengenai permintaan beliau supaya persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Muslim di Selangor, yang mahu dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) terlebih dahulu diminta mengemukakan hasrat menerusi surat rasmi kepada Pengurus Besar Lembaga Zakat Selangor. Jawapan beliau dimuatkan melalui akhbar Sinar Harian bertarikh 14 Ogos 2012. Saya menyifatkan jawapan tersebut tersangatlah angkuh dan memalukan umat Islam! 

Sehinggalah hari ini, apa yang dikesali ialah sikap pihak yang menguruskan zakat yang tidak terhad pada LZS tetapi juga pemegang amanah berkenaan di seluruh negara yang lebih suka menjadi ‘tuan’ di pejabat dan lebih suka orang ramai datang menagih meminta bantuan zakat. Sememangnya rasa gembira mendengar kutipan zakat tahunan yang bernilai puluhan jutaan ringgit tetapi yang menjadi tandatanya ke manakah wang-wang tersebut disalurkan memandangkan wang yang dikutip dalam satu tempoh itu perlulah dihabiskan kepada penerima yang layak dalam tempoh yang sama. Ini kerana jumlah fakir miskin masih lagi rata-ratanya macam tidak berganjak.

Saya mencabar pengurusan zakat yang ada supaya mengeluarkan senarai telus penerima zakat yang perlu diaudit oleh satu jabatan audit yang dilantik oleh pemimpin agama yang terdiri dari Raja-raja Melayu. Ataupun laporan ringkas pengagihan zakat yang bersesuaian itu dikeluarkan untuk tatapan umum supaya dapat mengelakkan fitnah bahawa adanya penyelewengan wang-wang nilai jutaan tersebut.

Kembali pada kenyataan Mohd Tamyes tersebut, saya amat jelik sekali dengan pekerja-pekerja zakat hari ini yang hanya berusaha mengutip wang zakat danmenggesa hanya mahu setiap umat Islam menjalankan tanggungjawab berzakat tetapi lembaga zakat masih lemah di dalam pendekatan untuk mengenalpasti penerima zakat yang layak di dalam operasi agihannya. Amat memalukan karenah birokrasi dalam lembaga zakat masih meluas dan melampau dengan para pekerjanya yang rata-ratanya beragama Islam dan berpendidikan Islam tinggi yang lebih suka berada dalam pejabat mereka yang dingin seharian daripada keluar mencari penerima layak.

Bukankah lebih baik pegawai-pegawai ini lebih pro-aktif keluar dan merisik mengenai penerima-penerima yang layak yang berada di kawasan sekitar? Bukankah itu tuntutan Islam pada mereka? Jika bukan diarahkan oleh pihak pengurusan zakat pada setiap anggota mereka sekalipun, setiap individu pegawai zakat sepatutnya merasakan itu adalah yang sepatutnya mereka lakukan demi mendapat keredaan rezeki untuk dirinya dan keluarga mereka.

Keluarlah, keluarlah…menjelajahlah sedikit untuk berbuat kebajikan dan usah menunggu orang datang untuk memohon. Mereka sepatutnya sedia tahu bahawa tidak semua mereka yang diluar tahu mereka layak menerima zakat dan ada juga yang segan dan silu untuk meminta. Bukalah juga kaunter agihan zakat dan bukan hanya kaunter mengutip atau mempromosikan kewajipan zakat pada orang ramai di tempat orang ramai. Usah lagi ada konsep ‘permohonan’ sahaja tetapi utamakan usaha ‘cari yang layak’!

Saya masih ingat mengenai kes serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas satu majlis ‘berbuka puasa’ di sebuah gereja di Damansara tahun lepas sekitar bulan Ramadhan juga. Kecoh diceritakan ramai orang Islam yang miskin hadir dan akhirnya membongkarkan bahawa mereka beralih kepada bantuan pihak gereja kerana kegagalan mendapatkan bantuan pihak zakat. Pihak zakat sepatutnya tersentak kerana ini menunjukkan mereka gagal sepenuhnya membela orang Islam sendiri.

Jika sayalah yang menjadi Pengurus Besar zakat, saya akan letak jawatan dan bertaubat pada Allah S.W.T kerana gagal menjalankan tugas pada ummah. Namun begitu, insiden ini sudah pun berlaku setahun lalu, pihak zakat masih lagi tidak berubah-rubah dan ini akan terus memusnahkan umat Islam. Maka tidak hairanlah jika orang Islam menerima bantuan daripada pihak bukan Islam dan jangan salahkan mereka jika mereka menerimanya. Salahkan diri sendiri dahulu sebab sistem pengendalian zakat yang tersangat birokrasi dan penuh dengan keangkuhan walhal duit itu bukannya duit lembaga zakat pun.Pengurusan zakat wajar sedar mereka adalah pendinding utama kepada masalah murtad yang berlaku gara-gara kesempitan hidup tanpa belaan.

Saya menganggap tugasan mengeluarkan zakat ini adalah tanggungjawab peribadi yang merupakan hubungan dengan Allah dan tidak semestinya kita mengeluarkannya pada lembaga zakat untuk menjadi wakil pengedar wang berkenaan. Dengan kepincangan system pengedaran zakat di negara ini, maka sebaiknya kita yang sudah ketahui mekanisme pengiraan zakat, keluarlah zakat dan serahkan sendiri kepada mereka yang layak menerimanya setelah kita kenalpasti sendiri. Tidak payahlah lagi ke pusat zakat dan menyerahkan wang berkenaan. Tidak perlulah kita membayar zakat pada pusat-pusat ini semata-mata mahu dapatkan penyata yang memudahkan kita menuntut rebat pada cukai pendapatan.

Memberi zakat secara terus kepada mereka yang layak adalah lebih menyenangkan hati kerana ia terus sampai ke tangan penerima.

Saya menggesa pusat-pusat zakat berubah sikap dan cara bekerja. Jangan hanya pandai mengutip tetapi tidak telus dalam cara mengagihkannya. Jika akidah mereka yang layak menerima zakat tergugat hanya kerana birokrasi dalaman pengurusan zakat, maka pengurusan zakat sudah bergelumang dengan dosa. Jangan menuding jari pada penerima bantuan ataupun pihak bukan Islam yang membantu mereka, lihat dulu pada diri sendiri! Sistem zakat dalam Islam sendiri adalah satu keajaiban yang berperanan menghapuskan golongan fakir miskin tetapi jika pelaksanaannya bagai melepaskan batuk di tangga, maka ia memalukan umat Islam keseluruhannya. Yang paling memalukan, kesilapan atau keangkuhan mereka bakal memalukan Duli-duli Yang Maha Mulia Sultan selaku ketua agama masing-masing!
_________________________
Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik, Teknologi Sains Maklumat dan program pembangunan organisasi. Beliau juga kini melanjutkan pengajian di peringkat PhD di sebuah universiti terkemuka tempatan. Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di beberapa laman web dan media cetak.Beliau juga merupakan pemimpin NGO antarabangsa, Armed for the Quill (AFTQ) yang berpusat di Oslo, Norway. Beliau adalah Ketua AFTQ bagi Asia Tenggara dan Timor Leste.  Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com

Read more...

Rakan Seperjuangan

Subscribe to updates

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP