Pengurusan zakat usah makan gaji haram!
Shaharul Shafie
Pengurusan zakat usah
makan gaji haram!
Saya
tersentak apabila membaca jawapan dari Mufti Selangor, Mohd Tamyes Abdul Wahid
mengenai permintaan beliau supaya persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO)
yang menguruskan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Muslim di Selangor, yang
mahu dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) terlebih dahulu diminta
mengemukakan hasrat menerusi surat rasmi kepada Pengurus Besar Lembaga Zakat
Selangor. Jawapan beliau dimuatkan melalui akhbar Sinar Harian bertarikh 14
Ogos 2012. Saya menyifatkan jawapan tersebut tersangatlah angkuh dan memalukan
umat Islam!
Sehinggalah
hari ini, apa yang dikesali ialah sikap pihak yang menguruskan zakat yang tidak
terhad pada LZS tetapi juga pemegang amanah berkenaan di seluruh negara yang
lebih suka menjadi ‘tuan’ di pejabat dan lebih suka orang ramai datang menagih
meminta bantuan zakat. Sememangnya rasa gembira mendengar kutipan zakat tahunan
yang bernilai puluhan jutaan ringgit tetapi yang menjadi tandatanya ke manakah
wang-wang tersebut disalurkan memandangkan wang yang dikutip dalam satu tempoh
itu perlulah dihabiskan kepada penerima yang layak dalam tempoh yang sama. Ini
kerana jumlah fakir miskin masih lagi rata-ratanya macam tidak berganjak.
Saya
mencabar pengurusan zakat yang ada supaya mengeluarkan senarai telus penerima
zakat yang perlu diaudit oleh satu jabatan audit yang dilantik oleh pemimpin
agama yang terdiri dari Raja-raja Melayu. Ataupun laporan ringkas pengagihan
zakat yang bersesuaian itu dikeluarkan untuk tatapan umum supaya dapat
mengelakkan fitnah bahawa adanya penyelewengan wang-wang nilai jutaan tersebut.
Kembali
pada kenyataan Mohd Tamyes tersebut, saya amat jelik sekali dengan
pekerja-pekerja zakat hari ini yang hanya berusaha mengutip wang zakat danmenggesa
hanya mahu setiap umat Islam menjalankan tanggungjawab berzakat tetapi lembaga
zakat masih lemah di dalam pendekatan untuk mengenalpasti penerima zakat yang
layak di dalam operasi agihannya. Amat memalukan karenah birokrasi dalam
lembaga zakat masih meluas dan melampau dengan para pekerjanya yang
rata-ratanya beragama Islam dan berpendidikan Islam tinggi yang lebih suka
berada dalam pejabat mereka yang dingin seharian daripada keluar mencari
penerima layak.
Bukankah
lebih baik pegawai-pegawai ini lebih pro-aktif keluar dan merisik mengenai
penerima-penerima yang layak yang berada di kawasan sekitar? Bukankah itu
tuntutan Islam pada mereka? Jika bukan diarahkan oleh pihak pengurusan zakat
pada setiap anggota mereka sekalipun, setiap individu pegawai zakat sepatutnya
merasakan itu adalah yang sepatutnya mereka lakukan demi mendapat keredaan
rezeki untuk dirinya dan keluarga mereka.
Keluarlah, keluarlah…menjelajahlah
sedikit untuk berbuat kebajikan dan usah menunggu orang datang untuk memohon. Mereka
sepatutnya sedia tahu bahawa tidak semua mereka yang diluar tahu mereka layak
menerima zakat dan ada juga yang segan dan silu untuk meminta. Bukalah juga
kaunter agihan zakat dan bukan hanya kaunter mengutip atau mempromosikan
kewajipan zakat pada orang ramai di tempat orang ramai. Usah lagi ada konsep
‘permohonan’ sahaja tetapi utamakan usaha ‘cari yang layak’!
Saya
masih ingat mengenai kes serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas
satu majlis ‘berbuka puasa’ di sebuah gereja di Damansara tahun lepas sekitar
bulan Ramadhan juga. Kecoh diceritakan ramai orang Islam yang miskin hadir dan
akhirnya membongkarkan bahawa mereka beralih kepada bantuan pihak gereja kerana
kegagalan mendapatkan bantuan pihak zakat. Pihak zakat sepatutnya tersentak
kerana ini menunjukkan mereka gagal sepenuhnya membela orang Islam sendiri.
Jika sayalah yang menjadi Pengurus Besar zakat, saya akan letak jawatan dan
bertaubat pada Allah S.W.T kerana gagal menjalankan tugas pada ummah. Namun
begitu, insiden ini sudah pun berlaku setahun lalu, pihak zakat masih lagi
tidak berubah-rubah dan ini akan terus memusnahkan umat Islam. Maka tidak
hairanlah jika orang Islam menerima bantuan daripada pihak bukan Islam dan
jangan salahkan mereka jika mereka menerimanya. Salahkan diri sendiri dahulu
sebab sistem pengendalian zakat yang tersangat birokrasi dan penuh dengan
keangkuhan walhal duit itu bukannya duit lembaga zakat pun.Pengurusan zakat
wajar sedar mereka adalah pendinding utama kepada masalah murtad yang berlaku
gara-gara kesempitan hidup tanpa belaan.
Saya
menganggap tugasan mengeluarkan zakat ini adalah tanggungjawab peribadi yang
merupakan hubungan dengan Allah dan tidak semestinya kita mengeluarkannya pada
lembaga zakat untuk menjadi wakil pengedar wang berkenaan. Dengan kepincangan
system pengedaran zakat di negara ini, maka sebaiknya kita yang sudah ketahui
mekanisme pengiraan zakat, keluarlah zakat dan serahkan sendiri kepada mereka
yang layak menerimanya setelah kita kenalpasti sendiri. Tidak payahlah lagi ke
pusat zakat dan menyerahkan wang berkenaan. Tidak perlulah kita membayar zakat
pada pusat-pusat ini semata-mata mahu dapatkan penyata yang memudahkan kita
menuntut rebat pada cukai pendapatan.
Memberi zakat secara terus kepada mereka yang layak adalah lebih
menyenangkan hati kerana ia terus sampai ke tangan penerima.
Saya
menggesa pusat-pusat zakat berubah sikap dan cara bekerja. Jangan hanya pandai
mengutip tetapi tidak telus dalam cara mengagihkannya. Jika akidah mereka yang
layak menerima zakat tergugat hanya kerana birokrasi dalaman pengurusan zakat,
maka pengurusan zakat sudah bergelumang dengan dosa. Jangan menuding jari pada
penerima bantuan ataupun pihak bukan Islam yang membantu mereka, lihat dulu
pada diri sendiri! Sistem zakat dalam Islam sendiri adalah satu keajaiban yang
berperanan menghapuskan golongan fakir miskin tetapi jika pelaksanaannya bagai
melepaskan batuk di tangga, maka ia memalukan umat Islam keseluruhannya. Yang
paling memalukan, kesilapan atau keangkuhan mereka bakal memalukan Duli-duli
Yang Maha Mulia Sultan selaku ketua agama masing-masing!
_________________________
Shaharul adalah
seorang perunding Sumber Manusia Strategik, Teknologi Sains Maklumat dan
program pembangunan organisasi. Beliau juga kini melanjutkan pengajian di
peringkat PhD di sebuah universiti terkemuka tempatan. Selain itu, beliau juga
menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang
diterbitkan di beberapa laman web dan media cetak.Beliau juga merupakan
pemimpin NGO antarabangsa, Armed for the Quill (AFTQ) yang berpusat di Oslo,
Norway. Beliau adalah Ketua AFTQ bagi Asia Tenggara dan Timor Leste.
Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com
3 comments:
SETUJU SGTLAH DENGAN TAJUK DI ATAS. KALAU BOLEH KITA KASI BOOM SIKIT KT LUAR SANA SUPAYA MEREKA2 YG DIBERI AMANAH NI X TIDOR
UMNO dan BN sudah memerintah Terengganu hampir 50 tahun..... Tapi Kenapa Pemuda UMNO, Puteri UMNO, Wanita UMNO dan Pemimpin2 UMNO Terengganu tetap BODOH?
2013 - Tahun Paling Malang Rakyat Terengganu........ Lihat sendiri bukti kalau tak percaya...
~ BUKTI 1 ~
~ BUKTI 2 ~
~ BUKTI 3 ~
~ BUKTI 4 ~
Salam, memang betul. masa nak minta zakat, kempen memang hebat. tapinya, masa nak agihkan zakat, tersekat-sekat. proses yang mudah jadi susah jadi payah. nak membantu ke nak menolak orang ke jalan buntu????
Post a Comment