Kartika.
PEKAN, 3 Mac (Bernama) -- Bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Sukarno yang bersalah kerana meminum arak mungkin diampunkan oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan bebas dari hukuman itu atau akan disebat dalam tempoh terdekat.
Menurut Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, baginda akan mempersembahkan kes Kartika Sari Dewi, 33, untuk makluman Sultan Pahang sebelum perkara itu diputuskan.
"Saya akan sembah kepada Tuanku Sultan tentang perkara ini dalam tempoh terdekat.
"Mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2002, Tuanku Sultan (Pahang) mempunyai kuasa mutlak untuk memberi pengampunan walaupun dia (Kartika Sari Dewi) tidak minta diampunkan (atau membuat rayuan)," titah baginda kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Kartika Sari Dewi lebih satu jam di Kompleks Islam Sultan Ahmad Shah, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang (MUIP), di sini, Rabu.
Menjelaskan perjumpaan itu, baginda bertitah Kartika Sari Dewi telah menyuarakan tekanan perasaan yang dihadapinya berikutan kes berkenaan ditangguhkan.
Baginda yang juga Yang Dipertua MUIP bertitah semua pihak perlu memandang serius perkara berkenaan dan tidak mempertikaikan sebarang keputusan yang dibuat Sultan atau pelaksanaan hukuman itu nanti.
Ditanya kenapa kes ini tertangguh agak begitu lama, Tengku Abdullah bertitah: "Kes ini akan diselesaikan secepat mungkin, cuma kes ini perlu diperhalusi dari segi pelaksanaan hukuman itu".
Kartika Sari Dewi ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2008 dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan.
Kartika Sari Dewi bagaimanapun enggan ditemui pemberita selepas pertemuan dengan Tengku Mahkota Pahang itu.
Sebelum itu Kartika Sari Dewi tiba di perkarangan kompleks berkenaan kira-kira 9.45 pagi dengan menaiki sebuah kereta sebelum Tengku Mahkota Pahang tiba kira-kira sejam kemudian.
Ketika ditemui pemberita di resort penginapannya di Pekan sebelum pertemuan itu, Kartika Sari Dewi berkata dia amat berharap dapat menemui Tengku Mahkota Pahang bagi meluahkan perasaan dan tekanan yang dihadapinya sejak penangguhan kes berkenaan serta berharap kesnya itu dapat diselesaikan secepat mungkin.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment