UdangLipan. Powered by Blogger.

Saturday, April 3, 2010

Harussssssani..... dan Hududnya.

Lucu pun ada, marah pun ada, bila baca artikel-artikel di bawah ini. Pak Mufti dari Perak ni sat cerita hukum sebatnya Kartika (sebab minum arak) boleh pinda , sebab ia bukannya hukum Hudud.

Pada pendapat saya, sebab ia cuba dipinda oleh Dato Najib dan berhasil bila Sultan Pahang menghantar surat memindanya semalam. Bila rujuk hukum kesalahan meminum arak dalam Islam, jelas ianya termasuk dalam kategori Hudud, jadi tak boleh pinda.

Tapi Haaruuuussaani tidak pula bersungguh berusaha untuk mengHUDUDkan perundangan di Malaysia. Begitulah cerita orang yang mengharusssskan banyak benda.

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) pula tidak bersetuju dengan pindaan itu.

PPMM yang mewakili lebih seribu ahli yang berkelulusan undang-undang dan syariah khuatir titah perintah ini tidak mempunyai keabsahannya di sisi undang-undang kerana walaupun bertindak sebagai ketua agama negeri KDYMM Sultan Pahang seharusnya mempertahankan undang-undang Islam serta memperkukuhkan institusi mahkamah syariah.

Sultan Pahang berhak meringankan hukuman terhadap Kartika Sari Dewi Sukharnor kerana bekas model itu tidak dibicarakan mengikut hukum hudud “yang bersifat tetap dan tidak boleh dipinda”, kata Mufti Perak.

Tan Sri Harussani Zakaria berkata, hukuman sebatan yang dijatuhkan terhadap Kartika sebelum ini bukanlah hukum hudud, sebaliknya hanya takzir yang tertakluk kepada pindaan oleh pemerintah.

“Hukuman hudud menetapkan 80 rotan (kepada pesalah yang meminum arak). Tetapi hukuman yang dijatuhkan terhadap Kartika tidak sampai kepada hukum hudud.

“Ia hanya takzir yang boleh diubah. Hukum hudud tidak boleh diubah sama sekali,” katanya.

Harussani diminta mengulas kenyataan Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang dukacita terhadap perintah Sultan Pahang yang berkenan menggantikan hukuman sebat terhadap Kartika dengan kerja-kerja khidmat kemasyarakatan.

Menurut persatuan tersebut, perintah tersebut tidak mengambil kira hasrat Kartika yang mahu disebat secara syarie dan ia “dikhuatiri tidak mempunyai keabsahannya di sisi undang-undang”.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini Harussani berkata, menurut peruntukan takzir, pemerintah atau sultan mempunyai hak untuk mengubah peruntukan-peruntukan dalamnya.

Undang-undang kesalahan jenayah syariah terbahagi kepada tiga, iaitu hudud, qisas dan takzir. Undang-undang mesti dijalankan dengan tegas. Peruntukan hudud melibatkan enam kesalahan iaitu murtad, minum arak, berzina, mencuri, merompak dan qazaf. Manakala qisas pula hukuman balas, seperti pembunuh akan dibunuh balas.

Kategori takzir pula kesalahan selain daripada hudud dan qisas yang mana hukumannya tertakluk kepada budi bicara pemerintah.

Sementara itu, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin (kiri) mempunyai pandangan yang berbeza apabila khuatir peringanan hukuman terhadap Kartika mengambarkan “seolah-olah kuasa raja mengatasi undang-undang”.

“Mungkin dalam kes Kartika ini (peringanan hukumannya) nampak positif. Tetapi esok-esok dikhuatiri boleh berlaku perkara lain pula.

“Kita bimbang nanti kerabat dan orang kenamaan yang melakukan kesalahn juga diampunkan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Dr Mohd Asri berkata, menurut pengalaman dalam sejarah Islam, pelaksaan sesuatu hukuman yang dijatuhkan mahkamah mesti dijalankan dengan tegas walaupun melibatkan sesiapa sahaja.

Katanya, terdapat satu kes pada zaman Rasullaah, seorang penzina daripada golongan bangsawan tidak diampunkan walaupun setelah merayu.

Tambahnya, penegasan terhadap keperluan melaksanakan hukuman tergambar dalam sabda Rasulullah: “Jika anakku Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku potong tangannya.” sumber: Malaysiakini

Khidmat masyarakat: Peguam Muslim bantah.

Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) hari ini menzahirkan perasaan dukacita mereka dengan arahan Sultan Pahang yang meringankan hukuman sebatan syarie ke atas bekal model Kartika Sari Dewi Sukharnor kepada perintah menjalankan kerja khidmat kemasyarakatan.

Menurut PPMM, titah Sultan itu langsung tidak mengambil kira hasrat dan kemahuan Kartika yang sebelum ini mahu disebat secara syarie atas kesalahannya itu dilaksanakan.

Kartika ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2008 dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan.

“PPMM yang mewakili lebih seribu ahli yang berkelulusan undang-undang dan syariah khuatir titah perintah ini tidak mempunyai keabsahannya di sisi undang-undang kerana walaupun bertindak sebagai ketua agama negeri KDYMM Sultan Pahang seharusnya mempertahankan undang-undang Islam serta memperkukuhkan institusi mahkamah syariah.

“Hak dan kuasa sebagai ketua agama hendaklah dijalankan mengikut hukum agama itu sendiri,” menurut kenyataan media yang dikeluarkan di Bangi, Selangor.

Kata PPMM lagi, undang-undang Islam telah menetapkan secara definitif hukuman bagi kesalahan meminum arak.

“Walaupun sebatan syarie sebanyak enam kali itu tidak mencapai jumlah yang ditetapkan oleh hukum syarak, namun ianya hendaklah dilaksanakan juga kerana ia lebih hampir kepada hukum syarak.”

Sebatan syarie amat ringan. Menurut PPMM, mereka juga musykil peringanan hukuman itu yang didakwa berasakan faktor kemanusiaan sedangkan hukuman berkenaan sendiri adalah amat ringan dan mempunyai falsafahnya yang tersendiri.

“Sebatan syariah amat berbeza dengan sebatan sivil yang mencedera dan menzalimi pesalah. Sebatan syariah lebih bersifat mendidik sebagaimana bapa mendidik anaknya,” kata kenyataan itu.

PPMM berkata undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri dan diperkenan oleh Sultan memperuntukkan kaedah peringanan hukuman bagi pesalah syariah.

“Peringanan hukuman bagi kesalahan syariah pula hendaklah dibuat atas nasihat Mufti. Mufti pula bertanggungjawab menasihati DYMM Sultan berdasarkan hukum syarak.

“Dalam hal yang demikian PPMM tidak dapat menggarap peruntukan yang manakah terpakai kepada peringanan hukuman kepada kerja kebajikan ini,” kata kenyataan itu.

Menurut PPMM lagi, tindakan beberapa ahli-ahli politik termasuk menteri-menteri dan kumpulan NGO lain berhubung isu itu jelas membelakangkan undang-undang Islam dalam pendirian mereka mengaut keuntungan politik atau populariti.

Kartika mula jalani khidmat masyarkat

“Setiap undang-undang yang ditetapkan oleh Allah itu mempunyai falsafahnya yang tersendiri dan kadang-kadang menjangkaui logik akal manusia. Oleh itu, kita tidak boleh menggunakan akal fikiran sendiri bagi menandingi ketetapan Allah itu.”

Berikutan titah Sultan Pahang itu, Kartika memulakan hukuman khidmat masyarakat di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, di Kuantan kira-kira jam 9.35 pagi tadi.

Sebelum itu, beliau diberi taklimat di Bahagian Penguatkuasa di Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) selama 20 minit. Kartika menerima sepucuk surat Rabu lalu yang memaklumkan mengenai keputusan itu. Surat berkenaan ditandatangani Timbalan Yang Dipertua, Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu, Pahang, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Surat tersebut berbunyi:"Menjunjung titah perintah kebawah Duli Yang Maha mulia Sultan Pahang, saya dengan ini memaklumkan kepada Puan bahawa berikutan daripada Majlis Mengadap Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang yang diadakan pada 3 Mac 2010, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sulatan Pahang selaku Ketua Agama Islam Negeri Pahang telah berkenan memutuskan bahawa sebagai ganti kepada hukuman sebat Puan dititah perintah supaya menjalankan kerja khidmat kemasyarakatan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatima, Kuantan di alamat Jalan Tengku Muhammad, 25050 Kuantan selama 3 minggu mulai 2 April 2010."

0 comments:

Post a Comment

Sukahati hangpa nak tulih apa pun, Jangan dok maki hamun mencarut cukuplah, hangpa semua dah besaq panjang takan nak kena ajaq kot, boleh pikiaq kot nooo...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP