UdangLipan. Powered by Blogger.

Sunday, October 31, 2010

Kenapa Kita Di Uji....???


Kadang-kadang... bilamana kita dilanda pelbagai ujian dan dugaan hati ini selalu sahaja merintih dan pelbagai persoalan timbul dibenak hati sanubari kita...

KENAPA AKU DIUJI ?

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta ." - Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TIDAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN ?

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ianya amat baik bagimu, Dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ianya amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui ." - Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI ?

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." - Surah Al-Baqarah ayat 286

RASA KECEWA ??

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pulak kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman. " - Surah Al-Imran ayat 139

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA ?

"Wahai orang-orang yang beriman!!! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), Dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan, Dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." - Surah Al-Imran ayat 200

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah ) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; Dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" - Surah Al-Baqarah ayat 45

APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI ??

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. - Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP ?

"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal." - Surah At-Taubah ayat 129

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI !!!!!!!!!!

"Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." - Surah Yusof ayat 12

Semoga segala persoalan dan rintihan yang melanda jiwa sanubari kita terubat dengan janji-janji Allah. Sesungguhnya kepada kitab suci Al-Quran lah tempat kita merujuk segala permasalahan kerana ia adalah penawar untuk kita.

Marilah kita kembali kepada Al-Quran, kembali mengamalkan ajaran yang terkandung sepenuhnya. Semoga Allah memberkati sahabat-sahabat sekalian....

Wassalam.....

Read more...

Friday, October 29, 2010

Batu Sapi: Sejauh manakah peluang PKR?

Sesungguhnya seperti yang disangka, pilihanraya kecil Batu Sapi menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mewakili Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) mewakili Pakatan Rakyat (PR) dan Parti Maju Sabah (SAPP). Namun begitu, yang tidak disangkakan ialah pemilihan peguam terkenal, Ansari Abdullah sebagai calon PKR.

Penulis boleh berkata berdasarkan maklumat-maklumat yang boleh dipercayai, Ansari bukannya pilihan bagi ahli-ahli PKR di cabang Batu Sapi sendiri. Pemilihan Ansari yang dikatakan mengejutkan semua pihak terutamanya ahli-ahli PKR Batu Sapi sendiri pada hari pengumuman calon di sebuah program PAS didakwa mempunyai pengaruh dari DAP sendiri ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Wallahualam.

Sebelum ini, Ketua PKR Sabah, Ahmad Thamrin Zaini disebut-sebut sebagai nama yang telah pun dipersetujui oleh ketiga-tiga komponen di dalam PR. Dikhabarkan juga, PAS Sabah turut terkejut dengan pengumuman nama Ansari pada hari Ahad lepas. Malah, ekoran dari ketidakpuasan hati kebanyakan ahli PKR Batu Sapi, mereka meninggalkan majlis pengumuman calon tersebut dan dilaporkan juga berlaku pergaduhan antara penyokong Ansari dan Thamrin di kawasan lapangan terbang di Sandakan sebaik sahaja Anwar menaiki kapal terbang pulang ke Kuala Lumpur bagi menghadapi perbicaraan mahkamah kes Liwat II keesokan harinya. Pergaduhan ini juga dinyatakan oleh calon SAPP yang juga Presiden parti itu sendiri, Datuk Yong Teck Lee semalam semasa berkempen di kawasan bumiputera Islam.

Penulis tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai pergeseran di dalam PKR Sabah dengan perkembangan terbaru ini tetapi mahu menulis lebih kepada impak sama ada betul atau tidak keputusan PKR untuk meletakkan calon di Batu Sapi bagi pihak PR. Sepertimana kita ketahui sebelum pimpinan utama PR menyetujui PKR menjadi calon mereka di Batu Sapi, PAS Batu Sapi pernah berkeras untuk bertanding di sana. Namun begitu, atas dasar kesepakatan dan menerima Thamrin sekiranya mewakili PR, PAS telah memberi laluan untuk kebaikan bersama.

Politik Sabah lain dari di Semenanjung Malaysia

Sebenarnya tiada masalah besar pun peribadi Ansari jika dilantik menjadi calon mana-mana pilihanraya. Hanya masalahnya ialah tempat itu sendiri. Politik di Sabah hatta di Sarawak sekalipun amat berlainan jika dibandingkan dengan di Semenanjung Malaysia. Sebelum pilihanraya umum 2008, trend mengundi di Semenanjung Malaysia masih lagi berdasarkan calon dan bangsa. Trend ini adalah kerana calon-calon yang diletakkan adalah berdasarkan komposisi kaum di satu-satu kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).Inilah bentuk pengagihan kerusi yang diamalkan oleh BN

PR akhirnya berjaya mengubah sedikit sebanyak pengagihan mengikut komposisi kaum pada pilihanraya umum lepas yang akhirnya kita dapat melihat calon yang bukan Melayu atau bukan Islam mula diterima di kawasan-kawasan pengundi Melayu/Islam terutamanya di kawasan bandar. Tetapi di Sabah, sejak dahulu lagi, corak pengundiannya amat berbeza dan sudah lama dan lebih awal lagi dari kita di Semenanjung Malaysia yang menolak corak pengundian berdasarkan agama dan kaum calon tersebut.

Sejarah politik Sabah penuh dengan warna-warni sejak bergabung dalam Malaysia. Antaranya ialah menjadi negeri yang seringkali berubah kerajaan negeri dan berlakunya lompat-melompat dari pembangkang ke kerajaan serta kemudian ada yang kembali menjadi pembangkang. Situasi ini telah menjurus kepada keadaan politik yang sukar difahami dan tidak ada kepercayaan. Dari USNO, Berjaya, PBS(BN), PBS(Pembangkang) dan akhirnya kepada BN (dengan kemasukan Umno Sabah) yang menyaksikan sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri dua tahun setiap seorang diamalkan di antara tiga kaum utama di Sabah iaitu Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Cina yang menyebabkan politik di negeri di bawah bayu itu terus sukar diramal.

Meskipun kini sistem penggiliran Ketua Menteri sudah berhenti dan Umno menjadi pemimpin ulung negeri itu, kehangatan politik Sabah masih belum dapat dijinakkan sepenuhnya. Masalah yang wujud sekarang ialah ketidakpuasan hati rakyat Sabah yang berbilang itu dengan Ketua Menteri sekarang dan ramai juga masih tidak berpuas hati sistem penggiliran itu dihentikan. Malah, Sabah adalah negeri yang mempunyai banyak parti politik kecil yang masih wujud sejak dulu seperti Berjaya, Bersekutu, Setia,Pasok Momogun dan banyak lagi yang sedang menunggu permohonan untuk diluluskan pihak Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Kembali kepada Ansari, penulis tidak melihat kemampuannya untuk menang sama-sekali di Batu Sapi. Penduduk Batu Sapi sepertimana penduduk Sabah yang lain lebih mementingkan calon yang merupakan anak negeri lebih-lebih lagi anak setempat di sesuatu kawasan tersebut. Rata-rata anak Sabah tidak melihat Ansari sebagai seorang public figure politik tempatan yang boleh dipercayai malah oleh ahli-ahli PKR Sabah sendiri jika dibandingkan dengan Thamrin yang kini menjadi Pengerusi PKR Sabah.

Maka dengan itu, calon dari BN, Linda Tsen Thau Lin dan calon SAPP mempunyai harapan besar untuk menang kerana mereka sudah dikenali sebagai anak tempatan di Batu Sapi dan Sabah, malah Yong pula adalah bekas Ketua Menteri dan mengetuai parti yang sah-sah khusus untuk menjaga kebajikan dan hal ehwal orang Sabah. Sekiranya Ansari mendapat tempat ketiga di dalam pungutan undi, maka PKRlah yang akan dianggap sebagai parti pengacau. Jika ini berlaku, maka tanggapan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini dalam media bahawa SAPP adalah parti pengacau adalah meleset dan tuduhan itu berbalik kepada diri sendiri.

Bila kita bercakap tentang jentera PKR sendiri menghadapi pilihanraya kecil ini, penulis yakin situasi semasa PRK Hulu Selangor akan berulang semula. Semasa PRK Hulu Selangor, jentera PKR Hulu Selangor sendiri dilihat sangat lemah ekoran polemik politik dalaman parti itu sendiri yang dilihat ’sengaja’ bertindak lemah kerana mereka tidak menyokong Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon. Mungkin ada benarnya ketika itu, ada tangan ghaib ketika itu di dalam PKR yang cuba menjatuhkan Zaid atas dasar masalah politik individu tertentu melebihi kepentingan politik parti. Nasib baiklah, dengan jentera PAS dan DAP yang bekerja kuat bagi membantu Zaid yang sudah kehilangan sokongan kuat dari partinya sendiri.

Di Batu Sapi pula, jentera PKR oleh cabang Batu Sapi itu sendiri yang seharusnya menjadi sekretariat jentera berkempen akan dilihat lemah dan terpaksa menggunakan tukang-tukang kempen PKR dari luar kawasan Batu Sapi sambil dibantu oleh rakan-rakan setia seperti jentera PAS dan DAP untuk membantu Ansari. Tanpa bantuan kempen yang kuat dari PKR Batu Sapi, bukan sahaja Ansari kehilangan orang-orang tempatan yang lebih mengenali politik kawasan itu malah beliau mempunyai risiko tinggi untuk kehilangan undi daripada mereka sendiri juga sebagai pengundi di kawasan parlimen tersebut. Ahli-ahli PKR Batu Sapi mungkin akan memboikot pilihanraya ini dengan memberi undi kepada SAPP. Selain itu juga, Ansari diingatkan jangan berasa selamat kerana dia adalah satu-satunya calon beragama Islam hanya kerana berada di kawasan parlimen yang mempunyai majoriti bumiputera Islam.

Isu janji autonomi amat berisiko

PKR dan PR membawa isu yang sangat berat bagi meraih undi penduduk Sabah. Selain daripada trend politik Sabah yang berbeza dengan yang ada di Semenanjung, masalah patriotik di kalangan sesetengah penduduk Sabah masih wujud walaupun sudah menyertai gagasan Malaysia lebih 47 tahun. Masih lagi ada sesetengah mereka memperjuangkan pembentukan Sabah untuk rakyat Sabah ataupun melihat Sabah menjadi sebuah republik atau negara. Oleh itu, isu autonomi yang dijanjikan oleh PR jika berkuasa di Sabah adalah isu yang amat berat. Hanya menyebut autonomi tanpa menggariskan apa yang dimaksudkan dengan tahap autonomi tersebut haruslah dijelaskan. Namun begitu, penulis yakin dalam apa jua janji PKR kepada orang Sabah, apa-apa bentuk autonomi pun tidak seharusnya timbul sama sekali sebagai bahan kempen.

Di dunia ini, kita jelas maklum beberapa wilayah di dalam sesebuah negara menuntut autonomi politik dan ekonomi daripada kerajaan persekutuan. Antaranya ialah Tibet di negeri China, Kashmir di India, Kurdistan di Iraq/Turki, Mindanao di Filipina, Acheh di Indonesia, Selatan Thai di negara Thai dan beberapa wilayah di dalam Rusia seperti Tartar, Dajestan dan Chechnya yang menuntut kuasa autonomi. Malah ada yang sanggup menggunakan taktik pengganas kemudiannya hanya untuk keluar bagi membentuk negara baru.Perkara autonomi ini perkara yang serius yang boleh membantutkan proses asimilasi kaum sebagai satu entiti rakyat Malaysia yang bersatu-padu seharusnya diterima pakai oleh semua pemimpin politik di Malaysia ini tidak kiralah dari kerajaan ataupun persekutuan.

Satu kejadian terkini mengenai isu Sabah untuk Sabah berlaku semasa pertandingan angkat berat di Sukan Komanwel baru-baru ini New Delhi yang menyaksikan seorang atlet kita sebenarnya dari Sabah ’sengaja’ memakai pakaian berlambang Sabah dan bukannya Malaysia semasa bertanding. Penafian tentangnya oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanyalah untuk meredakan api kemarahan ramai orang Malaysia tentang masih adanya sikap Sabah untuk Sabah bagi sesetengah penduduk Sabah. Tetapi itulah hakikatnya yang berlaku di negeri itu yang berlaku secara dalaman.Malah, ada yang berani mewujudkan page Facebook khas untuk mempromosi idea nasionalis Sabah bagi menarik penyokong.

Walaupun Datuk Patinggi Pehin Taib Mahmud kini mula kehilangan kekuatan sokongan rakyat di Sarawak selepas berkuasa hampir 30 tahun sebagai Ketua Menteri, namun aspek usahanya bagi mengurangkan semangat nasionalis Sarawak bagi membentuk sebuah republik di kalangan rakyatnya nampak berjaya. Kestabilan politik selama pemerintahannya berjaya mengekang usaha golongan tertentu yang cuba membawa Sarawak keluar dari Malaysia. Malah, bukan itu sahaja, beliau mampu mempertahankan bumi Sarawak daripada dijajah oleh Umno sepertimana yang berlaku di Sabah. Namun begitu, usianya yang kian lanjut dan masanya yang sudah lama menjadi Ketua Menteri seharusnya dipertimbangkannya untuk bersara kerana aspirasi rakyat hari ini adalah berbeza sekali.

Berbalik ke Batu Sapi, isu-isu besar yang boleh diketengahkan oleh PKR di Batu Sapi nanti haruslah mengenai isu sosial, politik tempatan, alam sekitar dan kewangan rakyat. Isu-isu seperti hasil balak, masalah pendatang tanpa izin, rakyat tanpa kad pengenalan, harga barangan harian yang kian meningkat, penggangguran setempat, kemudahan sekolah-sekolah pedalaman dan ketelusan kerajaan negeri di dalam pengurusan projek, tender dan juga sumber asli seperti minyak. Malah, isu-isu setempat seperti bekalan elektrik dan air , keselamatan kampung air serta jalan raya di kampung-kampung masih lagi dilihat relevan dalam konteks Batu Sapi.

PKR wajar beri laluan kepada SAPP

Sebenarnya penulis berasa sedih kerana PKR meletakkan calon di Batu Sapi. PKR adalah parti yang sangat baru dan belum dikenali di negeri itu jika dibandingkan di Semenanjung Malaysia. Hubungan PKR dan SAPP sememangnya erat terutamanya hubungan peribadi di antara Anwar dan Yong Teck Lee. SAPP memang sudah dikhabarkan akan menyertai PR sebelum pilihanraya umum akan datang. Sehingga semalam pun di satu majlis kempen Yong di perkampungan bumiputera Islam, beliau yakin akan kredibiliti Anwar untuk menjadi Perdana Menteri jika PR berjaya menawan Putrajaya. Tetapi SAPP menurutnya amat bimbang dengan ketidakstabilan di dalam PKR sendiri yang boleh menjejaskan keseluruhan PR dan beliau sendiri masih tidak nampak selain dari Anwar yang mampu memegang jawatan Perdana Menteri dari PKR sendiri andaikata sesuatu berlaku ke atas Anwar. SAPP bersifat parti politik negeri dan amat mustahil di dalam PRU akan datang SAPP akan meletakkan calonnya di luar negeri tersebut. Oleh itu, Anwar perlukan gandingan yang kuat dari pemimpin negeri itu sepertimana mereka berganding dengan parti Star di Sarawak.

Seharusnya PKR memberi laluan kepada SAPP sebagai memberikan sokongan jentera kempen kepada parti itu supaya dapat menyakinkan atau memikat SAPP untuk segera menyertai PR di atas dasar PKR yang bertimbang rasa, sedar akan konteks semasa di Sabah dan kepentingan parti negeri. Mungkin kerana ingat bahawa PKR terlalu kuat dengan hanya mengambil kira situasi di Semenanjung Malaysia bahawa angin reformasi atau perubahan sudah sampai di negeri di bawah bayu itu. Bagi penulis, itu adalah satu kesilapan persepsi yang bukan sahaja menyaksikan PKR menghadapi dilema untuk menang di Batu Sapi tetapi kini telah memecahkan PKR sendiri di negeri itu apabila Thamrin dan Ansari ,walaupun di hadapan bersalam-salaman tetapi dibelakangnya sudah wujud pasukan penyokong masing-masing yang mengutuk sama sendiri. Sepertilah di dalam persada politik nasional PKR, apabila pemimpin kanannya Zaid dan Azmin Ali boleh bersalam-salaman tetapi dibelakangnya siapa yang tahu.

Tetapi yang lebih menyedihkan penulis walaupun PKR akan tetap meletakkan calon ialah kesilapan membuat percaturan memilih siapa yang menjadi calon mewakili PKR. Membelakangi rakyat yakni ahli-ahli PKR Batu Sapi dan Sabah sendiri, Anwar yang memilih calon selain yang direstui mereka itu telah menunjukkan satu perbuatan yang dilihat tidak selaras dengan perjuangan PKR sendiri iaitu membiarkan rakyat memilih yang terbaik untuk mereka. Walaubagaimanapun, mungkin ada sebabnya Anwar bertindak sedemikian dan malah ada yang beranggapan pemilihan Ansari oleh Anwar adalah untuk memenangkan SAPP. Dengan kelemahan Ansari kononnya, pengundi tempatan yang juga ahli PKR Batu Sapi akan berpaling tadah menyokong SAPP sebagai memboikot calon PKR. Maka, Yong boleh memenangi lebih undi di dalam pertandingan tiga penjuru.

Ini bukannya pandangan penulis tetapi penganalisa politik yang lain. Dikhabarnya juga Anwar sendiri sedih dengan keputusan ahli-ahli PKR Batu Sapi dan Sabah yang masih mahu bertanding yang menyebabkan rombongannya gagal mencapai kata sepakat semasa berunding dengan SAPP awal minggu lepas. Oleh itu, Anwar dikatakan sengaja meletakkan Ansari untuk membantu calon SAPP dengan ’nasihat’ DAP. Entahlah! Benar atau tidak tanggapan berkenaan..kita lihat sahaja corak pengundian di Batu Sapi. Jika tanya kepada penulis, SAPP boleh menang! Tetapi bukan kerana ’agenda tersembunyi’ Anwar yang diomong-omongkan itu tetapi kerana senario politik Sabah sendiri dan juga kredibiliti Yong Teck Lee sendiri.

Shaharul Shafie

Read more...

Thursday, October 14, 2010

First Lady atau Tea Lady.


Malam tadi mata saya tak boleh nak lelap, untuk mengantukkan mata, saya menonton TV dan tertontonlah berita larut malam RTM 1. Memberitakan kisah Persidangan Wanita Pertama. Jika sebelum ini saya hanya membaca di blog sahaja berkaitan isu ini dan macam macam perihal kisah First Lady Malaysia - Datin Sri Rosmah Mansor.

Saya tertarik dengan kenyataan seorang Ahli Parlimen yang mengatakan bahawa Persidangan tersebut adalah Persidangan Wanita Pertama Afrika.

Kenapa saya berkata begitu, ini adalah kerana apabila RTM 1 menyiarkan rakaman bergambar semua wanita pertama dunia, yang kelihatan majoritinya adalah Negro Afrika di sekeliling Datin Sri Rosmah Mansor.

Mengekek-ngekek saya tergelak, apabila terkenangkan apa yang saya baca di laman web (harakahdaily) dengan apa yang saya tonton malam tadi... sungguh melucukan.

Lebih melucukan ialah benarkah itu First Lady atau Tea Lady...?

"Antara negara yang menghantar wanita pertama mereka adalah Albania, Congo, Gambia, Ghana, Jamaica, Kiribati, Laos, Mali, Mauritius, Mozambique, Nigeria, Paraguay, Seychelles, Sierra Leone, Sri Lanka dan Zambia."

Sungguh melucukan....?

Read more...

Tuesday, October 12, 2010

Nikah Anak Hasil Zina.

Bismillah
Wassolatu wassalam 'ala Rasulillah SAW,

Jumhur Ulama berpendapat seorang penzina tidak boleh mengahwini anak hasil zinanya.

Berkata Imam Syafie:

وَأَكْرَهُ لَهُ فِي الْوَرَعِ أَنْ يَنْكِحَ بَنَاتِ الَّذِي وَلَدَهُ مِنْ زِنًا

" Aku tidak menyukai (makruh dalam warak) baginya berkahwin dengan anak-anak perempuan yang dilahirkan hasil zinanya " (kitab al-Umm: 5/30)

Sebahagian Ulama Syafie menjelaskan, Imam Syafie memberikan hukum makruh jika ada kemungkinan anak itu bukan hasil dari benih penzina tersebut. Tetapi jika telah dipastikan benihnya maka haram baginya berkahwin dengan anak itu. (al-Hawi al-Kabir, al-Muhazzab & syarahnya, Mughni al-Muhtaj)

Ini dikuatkan dengan kenyataan Imam Muzani yang merupakan anak murid Imam Syafie selepas membawa kata-kata beliau di atas:

وَقَدْ كَانَ أَنْكَرَ عَلَى مَنْ قَالَ : يَتَزَوَّجُ ابْنَتَهُ مِنْ زِنًا

"Dan beliau pernah mengingkari kata-kata orang yang membenarkan seorang penzina mengahwini anak hasil zinanya ". (Mukhtasar al-Muzani: 228).

Kesimpulan: Imam Syafie tidak menyukai dan mengingkari pendapat yang membenarkan penzina mengahwini anak hasil zinanya.

Wallahuaklam

http://qawanitadanperkahwinan.blogspot.com/2009/07/kawin-anak-hasil-zina.html

Read more...

Jentera BN Galas: PRK paling telus bawah Ku Li?

Pertamanya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tengku Razaleigh Hamzah di atas penerimaan beliau untuk menjadi Pengarah Pilihanraya Kecil bagi DUN Galas yang bakal dilangsungkan pada 4 Oktober nanti. Perlantikannya merupakan satu titik penting di dalam melahirkan satu pilihanraya kecil yang dijangka lebih selamat, tersusun dan lebih telus jika dibandingkan dengan beberapa siri pilihanraya kecil sebelum ini.

Awal-awal lagi semalam Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed mengumumkan semasa di Universiti Malaysia Kelantan bahawa rakyat negeri Kelantan terutamanya di kawasan Galas supaya tidak mengharapkan projek-projek segera sepertimana yang pernah digula-gulakan sebelum ini semasa pilihanraya kecil yang lalu oleh Barisan Nasional (BN). Persoalannya ialah adakah penarikan taktik tegar BN ini adalah hasil kesepakatan dengan Tengku Razaleigh supaya beliau bersetuju menjadi Pengarah jentera pilihanraya Umno-BN di Galas? Mungkin ya, mungkin tidak.

Bagi pendapat penulis, ia berkemungkinan ya. Bagi yang mengenali aspirasi Tengku Razaleigh yang selama ini kurang gemar dengan taktik gula-gula dan janji-janji yang diamalkan oleh jentera BN sebelum ini pastinya ini merupakan syarat untuknya bersetuju menerima jawatan tersebut. Walaupun Mustapa atau Tok Pa adalah Ketua Perhubungan Umno Kelantan yang juga ketua kepada Tengku Razaleigh apabila pilihanraya DUN Galas rancak berkempen, Tengku Razaleigh telah diberikan kad super VVIP sementara untuk membuat keputusan besar mengenai hala tuju jentera kempen mereka nanti.

Tahukah anda selain dari ketiadaan gula-gula manis BN kali ini di Galas, apakah lagi bentuk kesepakatan atau syarat yang menyebabkan Tengku Razaleigh menerima jawatan itu untuk tempoh singkat itu? Kita boleh mengandaikan bahawa Tengku atau nama gelaran politiknya, Ku Li mungkin memberi peringatan kepada pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) supaya tidak campur tangan atau membantu jentera kali ini. Dengan hubungan yang akrab yang boleh dilihat di antara Tok Pa dan Ibrahim Ali (atau Tok Him) pastinya persetujuan itu dicapai bagi menghormati Ku Li bagi memberi laluan kepadanya untuk memeta strategi bagi menawan kerusi DUN Galas dengan cara yang profesional lagi telus.

Tok Him awal-awal lagi semalam juga membuat kenyataan bahawa beliau akan turun meninjau Galas atas nama Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas dan ahli-ahli Perkasanya akan membantu sama ada Umno atau PAS atas kapasiti diri mereka di dalam parti itu sendiri. Nasib baiklah, masalah komunikasinya yang baru-baru ini dengan tiga pemimpin utama Umno iaitu Setiausaha Agungnya, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin boleh dijadikan alasan sebagai menutup bentuk ’persepakatan’ dengan Ku Li.

Walaubagaimanapun, apa yang penulis katakan di sini hanyalah andaian semata-mata tetapi suatu andaian yang boleh dikira menepati dengan suasana di sebalik tabir politik Umno dan Perkasa pada ketika ini yang tidak dilihat dengan mata kasar kita.

Penulis mengandaikan Umno dapat mengurangkan belanja pilihanraya terutamanya di dalam menyenaraikan senarai gula-gula atau projek kepada penduduk Galas kerana keperibadian Ku Li sendiri yang menolak strategi-strategi berkenaan. Memang satu kerugian kepada penduduk Galas sendiri yang mungkin sesetengahnya sudah pun berkira-kira atau berharap untuk mendapat sesuatu daripada ’peluang’ pilihanraya kecil sebegini sepertimana pengundi-pengundi di dalam PRK yang lalu. Mungkin rakan-rakan pengundi di Batu Sapi, Sabah yang lebih beruntung kerana bakal menerima ’peruntukan’ di Galas dan ditambah lagi dengan peruntukan gula-gula yang sudah disediakan BN semasa di Batu Sapi nanti.

Mengenai Perkasa, Ku Li juga tidak suka Perkasa menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu di Galas terutamanya kaum Cina yang bimbang dengan sikap perkauman yang dilihat menjadi-jadi di dalam pertubuhan NGO Melayu itu. Jangan kita lupa jumlah pengundi Cina di sana adalah yang terbesar di dalam mana-mana DUN di negeri Kelantan. Apabila gula-gula dan Perkasa dapat dielakkan, pastinya akan mengurangkan ketegangan pilihanraya kecil yang bakal berlangsung ini dan akhirnya ketelusan di dalam kempen BN pimpinan Ku Li kali ini akan menjadi contoh kepada kita semua.

Sungguhpun demikian, di masa Ku Li ingin memastikan pilihanraya kecil ini menjadi lebih satu pertandingan yang penuh profesional dan telus, beliau perlu bimbang dengan hasil daripada pilihanraya itu nanti. Sepanjang proses kempen yang sudah pun bermula sekarang secara tidak rasminya, sehinggalah jam 12 tengah malam 3 November nanti, Ku Li pastinya tiada masalah untuk memimpin sekumpulan jentera Umno tanpa tangan-tangan Umno pusat yang mengganggunya. Tetapi nasibnya dalam politik BN bakal ditentukan dengan keputusan yang bakal diumumkan bila-bila masa antara jam 8 ke 9 malam keesokan harinya pula di Pusat Sivik Gua Musang.

Ku Li tidak dinafikan seorang pemimpin tempatan dan nasional yang dihormati oleh kawan tetapi lebih disegani oleh lawan. Faktor kekuatan Ku Li yang sudah menjadi ahli Parlimen Gua Musang hampir 36 tahun itu sejak tahun 1974 selain dari taraf kebangsawanannya di Kelantan merupakan faktor penting yang perlu digeruni oleh lawannya terutamanya dari PAS. Hanya memakai baju BN tetapi Ku Li lebih mesra dengan kebanyakan polisi-polisi dan agenda perjuangan Pakatan Rakyat (PR) khususnya PAS di negeri Kelantan sejak beberapa tahun ini.

Sokongan padunya kepada kerajaan PAS pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menuntut royalti petroleum daripada Petronas dilihat sebagai satu titik pertemuan di antara aspirasi perjuangannya dan juga perjuangan PAS di negeri itu yang bersandarkan kepada pembangunan rakyat. Malah, Ibrahim Ali sendiri yang mempunyai Perkasa hari ini tidak mengendahkan urusan royalti petroleum walaupun sebagai anak negeri itu sendiri. Malah Tok Him lebih nampak setuju dengan konsep wang ihsan dari kerajaan pusat yang disalurkan melalui Tok Pa dan kakitangannya di negeri itu.

Detik ini amatlah sukar bagi Ku Li tetapi bernasib baik kerana pimpinan Umno pusat dijangkakan akan membiarkan beliau mengetuai jentera Umno mengikut acuannya sendiri. Namun begitu, masa masih begitu awal untuk menganggapnya sedemikian. Ini kerana macam-macam boleh berlaku bila sudah tiba musim berkempen. Walaubagaimanapun, baik buruknya keputusan pilihanraya nanti bakal memberi kesan kepada Ku Li sendiri.

Saya yakin Ku Li tidak bersetuju pada awalnya atau pun berkira-kira untuk menerima pelawaan ke jawatan pengarah pilihanraya itu yang pada lazimnya diberikan kepada Timbalan Presiden Umno atau kepada salah seorang Naib Presiden Umno. Bagi menunjukkan kesetiaannya kepada Umno, Ku Li terpaksa tidak menolak jemputan khas tersebut. Walaupun beliau berada lama di Ireland dan United Kingdom sejak penyandang kerusi DUN Galas, Allahyarham Che Hashim Sulaima pulang ke Rahmatullah, namun dengan dunia serba moden dengan komunikasi hebat membolehkan Ku Li berhubung dengan pimpinan Umno atau dihubungi oleh mereka untuk berbincang syarat-syarat penerimaannya untuk jawatan tersebut.

Penulis sekali lagi menjangkakan pilihanraya kecil ini bakal berjalan dengan lancar dan penuh profesional hanya jika jentera BN diketuai oleh Ku Li dan jentera PAS pun dilakukan dengan penuh telus. Mungkin ada sedikit kekecohan yang akan berlaku semasa keadaan semakin memuncak semasa di penghujungnya. Namun, pilihanraya kecil ini bakal dilihat untuk menjadi PRK yang terbaik lagi tersusun yang tidak pernah disaksikan oleh SPR sendiri dan juga orang ramai selama ini terutamanya siri-siri PRK selepas tsunami politik 2008.

Jika ditanya tentang andaian keputusan PRK Galas kelak kepada penulis, dari pengamatan di peringkat awal ini, biarlah penulis berkata begini iaitu PAS kena bekerja keras untuk mempertahankan DUN Galas dan tidak terlalu yakin untung menang. Faktor calon, sokongan orang Asli dan ketokohan kepimpinan Nik Aziz bakal memainkan peranan besar bagi mengekalkan kerusi tersebut. DUN Galas baru sahaja diperolehi oleh PAS semasa pilihanraya umum lalu selepas berada dengan selamatnya di bawah Umno. Semuanya kerana ketokohan Ku Li sendiri sebagai pemimpin setempat yang disayangi ramai.

Hanya faktor tsunami politik 2008 yang sedikit mencalar rekod tanpa kalah Umno di Gua Musang di DUN Galas. Namun, kerusi-kerusi DUN yang lain di bawah Gua Musang iaitu Nenggiri dan Paloh terus kekal dibawah penguasaan Umno. Tidak dinafikan majoriti semasa PRU 2008 di Nenggiri, Paloh dan juga untuk kerusi parlimen yang disandang oleh Ku Li sendiri menurun kerana mendapat tempias tsunami 2008. PAS pula jika meletakkan calon dari masyarakat Orang Asli mampu setidak-tidaknya mengekalkan kerusi DUN tersebut dengan majoriti yang kurang.

Semasa PRU 2008, peti-peti undi Orang Asli walaupun menampakkan kenaikan 20 peratus tambahan undi mereka kepada PAS tetapi secara keseluruhannya masih lagi majoritinya menjadi milik Umno. Jika calon PAS datangnya dari Orang Asli benar-benar menjadi, kekalahan PAS di peti-peti undi Orang Asli sebelum ini mungkin dapat ditebus dan ini sekurang-kurangnya dapat mengisi kehilangan beberapa undi daripada pengundi Melayu di peti-peti undi Melayu yang pernah diterima PAS dahulunya.

Kehilangan ini perlu diambil kira dengan trend penurunan undi Melayu kepada PAS dan PR seperti yang dilihat dalam dalam siri-siri PRK selepas PRU 2008. Malah, petunjuk kemenangan tipis ataupun majoriti PAS yang berkurangan semasa PRK DUN Manek Urai wajar diambil sebagai teladan. PAS dijangka tidak akan menghadapi masalah dengan undi orang Cina terutamanya di peti undi Bandar Baru dan Bandar Lama Gua Musang.

Selepas dua tahun sejak PRU 2008, banyak isu-isu nasional berkaitan kaum, agama dan ekonomi telah menjadi pertaruhan kedua-dua gergasi BN dan PR termasuklah isu bersifat perkauman yang dimainkan oleh Perkasa bagi memainkan sentimen rakyat. Walaupun trendnya masih status-quo atau tidak berubah, tetapi faktor sokongan Ku Li ke atas tuntutan royalti petroleum itu dilihat mampu mengubah semula kecenderungan pengundi di Galas yang pernah menyokong PAS sebelum ini untuk kembali kepada Umno.

Walaubagaimanapun, faktor calon juga penting bagi Umno. Sungguhpun begitu, penulis tidak nampak Ku Li sendiri akan turun menjadi calon. Ini kerana tindakan berkenaan akan menunjukkan kepada orang ramai bahawa Umno ketandusan pemimpin baru yang boleh diketengahkan dan persepsi ini amat buruk kepada Umno. Malah, jika Ku Li sendiri memenangi DUN tersebut, ini bakal menyusahkannya kerana beliau terpaksa menjadi ’pembangkang’ yang kuat di DUN Kelantan kerana jumlah pembangkang di Kelantan dari Umno hanyalah 6 orang sahaja.

Di peringkat nasional atau di Dewan Rakyat, Ku Li tiada masalah menjadi ahli Parlimen BN kerana di dalamnya sudah ramai ahli Parlimen BN yang bersedia untuk berbahas dan berinteraksi dengan pembangkang yang dari PR. Malah, kerusi Ku Li sebagai ahli Parlimen Gua Musang pun terletak di tengah-tengah antara lengkungan pelantar tempat duduk ahli Parlimen yang sebelah kanannya adalah BN dan kirinya ialah PR jika dilihat dari tempat duduk Speaker.

Dengan itu, menjadi mereka yang duduk di ’tengah-tengah’ itu adalah lebih mudah untuk sekadar melihat dan mendengar usul dan perbahasan bersama-sama mereka yang sudah pencen dari kerajaan seperti mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, para mantan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Datuk Seri Ong Tee Keat dan juga bekas-bekas menteri seperti Datuk Paduka Rafidah Aziz, Datuk Azmi Khalid dan Datuk Syed Hamid Albar.

Jika jentera Ku Li mampu menawan Galas, ini bermakna Ku Li mempunyai peluang untuk menguatkan semula sokongan ke atasnya dalam politik. Namun begitu, penulis yakin bahawa Ku Li tidak lagi berminat untuk ke pentas politik utama Umno lagi seperti masa-masa lampau apabila bertanding dengan Tun Mahathir dan Tun Abdullah dalam beberapa siri pemilihan Umno.

Tetapi jika Ku Li gagal menawan Galas, dengan pemberian kuasa sementara menjadi Pengarah jentera Umno, musuh-musuhnya dalam Umno bakal menggunakan peluang ini untuk menjatuhkannya terutamanya mereka di dalam Umno Kelantan sendiri. Sungguhpun begitu, penulis yakin sekiranya musuh-musuh dalam selimut Ku Li di dalam BN itu berfikiran demikian bagi menggunakan alasan kekalahan tersebut, penulis meminta mereka berfikir dua kali sebelum membuat kesilapan lebih besar.

Ini kerana Ku Li sudah sinonim dengan penduduk Gua Musang. Jika Ku Li bertanding dalam PRU ke 13 pada umurnya yang mungkin mencapai 74 tahun ketika itu sekalipun sebagai wakil Bebas seandainya Umno yakin untuk menggantikannya kelak, penulis yakin Ku Li masih boleh menang. Ini berbeza dengan Ibrahim Ali yang ingat dirinya sinonim dengan penduduk Pasir Mas tetapi kalah sebagai calon Bebas pada PRU 2004 dan perlu menggunakan lambang PAS yang kini terpacul sebagai musuhnya sebaik sahaja memenangi kerusi tersebut.

Memang satu perkiraan yang salah jika Umno menganggap kekalahan di Galas merupakan pengakhiran untuk Ku Li. Seperti nila setitik rosak susu sebelanga, jika Ku Li membuat pilihan menjadi calon Bebas nanti, bukan sahaja Ku Li mampu menang tetapi ketiga-tiga kerusi DUN dibawahnya bakal melayang kepada kerajaan PAS yang dilihat semakin kuat. Namun begitu, penulis yakin Ku Li sendiri akan bersara dari dunia politik menjelang PRU akan datang. Ayuh kita lihat dan saksikan ramalan penulis sama ada menjadi atau tidak.

(Oleh Shaharul - rashidzack@yahoo.com)

Read more...

Pengangguran dan Modal Insan Malaysia - Bahagian 1

Saya terbaca satu artikel berita bertajuk ‘Rakyat kita diajak pulang berkhidmat’ di dalam Mingguan Malaysia hari ini (10/10/2010) yang di dalamnya menyebut kerajaan memanggil pulang rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara untuk pulang ke dalam negara ini untuk bekerja.

Di dalam laporan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam ucapannya di Sydney itu kepada lebih 500 pelajar Malaysia di Australia dan New Zealand yang mengajak rakyat Malaysia balik ke Malaysia bagi menjayakan program transformasi kerajaan jika mereka betul-betul cintakan negara sendiri.


Kadar pengangguran mahasiswa semakin meruncing.

Tujuan saya menulis ini bukan untuk mengulas ucapan berkenaan. Hanya saya mahu rayu di sini ialah para pelajar Malaysia yang sedang belajar di sana, biarlah bekerja untuk beberapa tahun di sana, timba pengalaman dan kumpul wang. Untuk mereka yang sudah lama bekerja di sana, anda boleh balik tetapi balik dengan tukaran wang hasil simpanan di sana dan membuka perniagaan di negara ini.

Dengan cara ini, anda boleh menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada para pengganggur yang sedia ada di dalam Malaysia ini yang semakin hari semakin meningkat apabila kerajaan gagal mengawal ’kilang-kilang’ yang ada dalam negara ini kerana menghasilkan berpuluh-puluh ribu produk bernama mahasiswa.

Oleh kerana dasar pengilangan graduan secara besar-besaran selepas kerajaan membuka universiti-universiti awam baru yang asalnya bermula sebagai Kolej Universiti, kelulusan kerajaan membuka banyak universiti dan kolej swasta dan penambahan jumlah kemasukan pelajar di IPTA , produk graduan yang dikeluarkan dengan pukal kini nampaknya berlebihan jika dibandingkan dengan peluang pekerjaan yang wujud dalam industri pekerjaan hari ini.

Memanglah kita alu-alukan usaha kerajaan bagi memberi lebih banyak peluang pendidikan tertiari kepada rakyat Malaysia tetapi perancangan untuknya gagal memastikannya sejajar dengan peluang pekerjaan yang diwujudkan.

Terus-terang saya boleh dikatakan, peluang pekerjaan yang ada di Malaysia terlalu sedikit walaupun petunjuk ekonomi makro menunjukkan pertumbuhan ekonomi meningkat sejak setahun lalu. Ini kerana hasil-hasil yang menyumbang kepada kenaikan pertumbuhan ekonomi ini datangnya dari syarikat-syarikat besar yang tersedia ada dalam negara yang mencatatkan keuntungan.

Antaranya ialah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Petronas, Maybank, CIMB, Sime Darby, Proton, UEM dan sebagainya. Syarikat-syarikat milikan korporat yang besar lain adalah seperti Genting, Public Bank, Hong Leong, Maxis, Berjaya Group dan banyak lagi.

Bersambung.

*** Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com

Read more...

Sunday, October 3, 2010

Analisa sejarah politik moden 16 September.

Oleh Shaharul Shafie.

Pada tahun ini, tarikh 16 September mulai melakar sejarahnya kerana menjadi cuti umum seluruh negara yang pertamanya tahun ini bagi meraikan pembentukan Malaysia yang wujud sejak tahun 1963 dengan penggabungan negeri-negeri baru Sarawak, Sabah dan Singapura. Mungkin sudah hampir seminggu kita menyambut Hari Malaysia, artikel saya kali ini sekadar meninjau semula signifikan akan tarikh itu dengan iklim politik perdana yang akhirnya tarikh ini diiktiraf sebagai hari cuti kebangsaan tahun ini seluruh negara.

Malaysia yang juga dibentuk atas keperluan bekas penjajah British yang tidak mampu mengawal jajahan mereka di sebelah rantau sini dan juga ancaman komunis menyaksikan Singapura telah diminta meninggalkan Malaysia pada tahun 1965 di atas beberapa sebab.

Perdana Menteri ketika itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj terpaksa menerima hakikat tersebut bagi menjaga ketenteraman kaum dan kontrak sosial ketika itu. Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa antara sebab utama pemisahan tersebut adalah bagi menjaga nisbah kaum di dalam negara ketika itu kerana jumlah penduduk kaum Cina ketika itu dikatakan hampir menyamai jumlah penduduk bangsa Melayu.

Bukan hanya bersebabkan nisbah itu sahaja dan propaganda komunis, tetapi keadaan selepas itu telah menyebabkan pihak tertentu di Singapura dan bandar-bandar besar mengambil kesempatan yang cuba mengapi-apikan perkauman dan mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu. Walaupun Singapura meninggalkan kita pada tahun 1965, klimaks daripada sikap dan perasaan itu yang terbawa-bawa telah akhirnya membawa kepada tragedi 13 Mei 1969 sebaik sahaja pilihanraya umum.

Cuti pada hari Khamis lepas tidak dinafikan sebagai satu contoh kejayaan Pakatan Rakyat (PR) di dalam mendesak kerajaan pusat yang dikuasai oleh Barisan Nasional (BN) untuk mengiktiraf hari tersebut sebagai hari penting dalam negara. Untuk sampai ke saat ia mendapat taraf cuti umum seluruh negara, amat sukar sekali bagi PR untuk laluinya walaupun terpaksa melalui satu insiden politik yang dimulakan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik sahaja negara memilih kerajaan baru pada bulan Mac 2008.

Memang ramai menganggapnya ianya berakhiran sebagai penipuan tetapi bagi saya, ia merupakan peristiwa penting yang berkaitan rapat dengan semangat 16 September ini.

Saya berkira pembaca masih ingat lagi apa yang saya maksudkan di atas. Ketika itu apabila Anwar menghangatkan suasana politik tanah air beberapa bulan selepas PRU tersebut dengan mendakwa akan ada antara 20-30 orang ahli Parlimen BN yang dijangkakan akan menyertai parti-parti komponen PR yang secara tidak langsungnya akan membentuk kerajaan pusat secara majoriti mudah menjelang tarikh keramat 16 September 2008. Walaupun begitu, usaha tersebut tidak menjadi tetapi impak semasa countdown ke tarikh itu sejak sebulan sebelum itu amat memeritkan bukan sahaja bagi pemimpin-pemimpin PR tetapi juga BN. Lebih-lebih BN, yang baru terduduk dengan tsunami politik yang pertama pastinya tidak mahu lagi ombak kedua melanda.

Ketika itu, dilaporkan BN berada dalam keadaan bersiap sedia kerana timbulnya perasaan dalam hati masing-masing ahli Parlimen BN yang tunggu dan lihat seolah-olah dakwaan Anwar itu satu ancaman yang besar. Tetapi di dalam media massa nasional, pemimpin BN terpaksa menunjukkan hipokrit dengan menunjukkan rupa luaran mereka bagi menyakinkan rakyat bahawa dakwaan Anwar itu tidak benar sama sekali. Ahli-ahli Parlimen BN ketika itu ada masanya berada dalam suasana tidak percaya-mempercayai sesama mereka kerana bimbang rakan yang sebentar tadi ahli Parlimen BN yang makan tengah hari dengannya akhirnya mungkin makan pagi di meja yang lain kononnya.

Walaupun akhirnya dakwaan dan usaha Anwar itu terus membuntu selepas 16 September 2008 tetapi kita tidak dapat menolak bahawa gara-gara Anwar berkata demikian dengan disanggupi oleh rakan-rakannya dalam PR yang lain, suasana tegang di kalangan pemimpin BN sebelum tarikh janji Anwar itu turut terbawa-bawa selepas tarikh itu. Pemimpin kanan melakukan yang terbaik bagi mengawal kerosakan imej di media-media nasional.

Sesungguhnya juga tarikh 16 September ini juga yang telah diiktiraf sebagai cuti umum bukan sahaja mengenai mengenang pembentukan Malaysia tetapi juga boleh dikatakan bagi mengenang satu keadaan politik yang tertekan gara-gara dakwaan Anwar tersebut secara sinisnya. Rakyat marhaen tidak akan lupa akan tarikh itu kerana ketika itulah ahli-ahli Parlimen BN berada pada tahap ketegangan yang paling menggerunkan dalam sejarah sejak kali terakhirnya ketika Umno diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1988 oleh Hakim Allahyarham Tan Sri Harun Hashim gara-gara konflik dua kumpulan bertelagah di dalam Umno itu sendiri.

Melihat kepada pengisytiharan 16 September sebagai cuti umum juga, kerajaan pusat kini akhirnya akur dengan desakan pemimpin PR. Hasil ini diibaratkan sebagai satu contoh bahawa perlunya pasukan pembangkang yang kuat di dalam Dewan Rakyat dan tidak perlunya parti pemerintah terdesak mendapatkan 2/3 jumlah kerusi di dalamnya. Biar riuh-rendah Dewan Rakyat, asalkan apa-apa usul dibicarakan dan dibincangkan dengan sebaik yang mungkin bagi yang terbaik untuk rakyat akhirnya. Dewan tidak perlu lagi seperti dahulu menjadi cop bagi melaksanakan apa yang diinginkan kerajaan tetapi tidak dimahukan rakyat.

Ingatlah! Jangan lupa akan apa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang acapkali menasihati kepada rakan-rakannya dalam BN dengan berkata ‘Zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah pun berakhir’. Biarlah bertekak dan riuh-rendah dalam dewan sampai tengah malam sekali pun, asalkan jangan sampai ada kerusi yang terbang, cedera dan berbunuh-bunuhan, cukuplah. Kalaupun paip-paip baru yang dipasang atas bumbung Dewan pecah dan mengalir airnya kerana kehangatan perbahasan, biarkanlah, itulah tandanya wakil rakyat kita yang sudah sedari jawatan mereka bukannya kerja tetap tetapi tanggungjawab kepada rakyat.

Kembali kepada kisah-kisah lampau sebelum tarikh ini diisytihar cuti umum, kita masih ingat lagi apabila media-media nasional dan pemimpin-pemimpin kerajaan pusat yang pernah menolak inistiatif kerajaan PR bulat-bulat bagi menjadikan tarikh tersebut cuti umum. Antaranya ialah kenyataan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek di dalam Utusan Malaysia pada 3 September 2008 yang menuduh PAS sebagai hipokrit kerana menyokong cuti umum itu sebagai memperbaiki kesilapan masa lampau Pas Kelantan yang didakwa Shabery menentang usaha Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman dan pemimpin terdahulu supaya dapat dilupakan begitu sahaja.

Untuk makluman pembaca, kenyataan itu dilakukan oleh Shabery sehari selepas Anwar mencadangkan supaya pimpinan pembangkang di lima negeri yang dikuasai pakatan pembangkang mengisytiharkan 16 September ini sebagai cuti umum pada negeri masing-masing ketika berucap semasa majlis kesyukuran sempena kemenangannya dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di tapak Ekspo Seberang Jaya.

Manakala pada hari yang sama juga, Timbalan Menteri Sumber Manusia ketika itu, Datuk Noraini Ahmad menyifatkan cadangan pemberian cuti umum pada 16 September tidak sesuai kerana negara ini sudah pun mempunyai cuti kemerdekaan iaitu pada 31 Ogos. Bukan itu sahaja, Noraini mendakwa pemberian cuti umum yang terlalu banyak tidak elok untuk produktiviti pekerja.

Pada 4 September 2008 juga, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Vui Keong mendakwa Anwar cuba menarik perhatian masyarakat di kedua-dua negeri itu dengan sengaja menjadikan tarikh kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan sebagai agenda perjuangannya. Selain itu, lidah pengarang Utusan Malaysia sehari sebelum itu pula secara sinisnya mendakwa Anwar sangat teruja dengan tarikh itu supaya rakyat mengingati tarikh tersebut kerana kononnya Anwar bakal merampas kuasa pada tarikh tersebut.

Walaubagaimanapun, akhirnya tarikh bersejarah ini telah disepakati untuk dijadikan cuti umum Malaysia yang baru oleh kerajaan pimpinan Najib. Seperti yang saya nyatakan tadi, bagi rakyat Malaysia, tarikh itu bukan sahaja mengenai pembentukan Malaysia tetapi juga mengingati satu harapan baru oleh Anwar yang mendakwa mempunyai cukup ahli Parlimen bagi menakluk Putrajaya yang akhirnya terpaksa dilupakan. Yang baiknya mengenai ’cita-cita’ Anwar itu ialah ia memberi satu gambaran bahawa apa sahaja boleh berlaku dan perubahan boleh berlaku dan yang buruk mengenainya ialah akhirnya cita-cita itu berakhir dengan kegagalan bagi menakluk Putrajaya di kalangan pemimpin PR.

Bagi kerajaan BN, jika masih berkuasa beberapa tahun akan datang, setiap kali tarikh 16 September tiba, pastinya kegerunan ancaman kehilangan kuasa pasti akan teringat juga. Dan bagi Anwar dan rakan-rakannya, ingatilah tarikh itu sebagai satu pengajaran yang berguna untuk tidak diulangi lagi di masa akan datang.

(Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan perkembangan semasa dan selepas pilihanraya kecil di Sibu dan Hulu Selangor baru-baru ini yang diterbitkan didalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com)

Read more...

Rakan Seperjuangan

Subscribe to updates

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP