UdangLipan. Powered by Blogger.

Friday, October 29, 2010

Batu Sapi: Sejauh manakah peluang PKR?

Sesungguhnya seperti yang disangka, pilihanraya kecil Batu Sapi menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mewakili Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) mewakili Pakatan Rakyat (PR) dan Parti Maju Sabah (SAPP). Namun begitu, yang tidak disangkakan ialah pemilihan peguam terkenal, Ansari Abdullah sebagai calon PKR.

Penulis boleh berkata berdasarkan maklumat-maklumat yang boleh dipercayai, Ansari bukannya pilihan bagi ahli-ahli PKR di cabang Batu Sapi sendiri. Pemilihan Ansari yang dikatakan mengejutkan semua pihak terutamanya ahli-ahli PKR Batu Sapi sendiri pada hari pengumuman calon di sebuah program PAS didakwa mempunyai pengaruh dari DAP sendiri ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Wallahualam.

Sebelum ini, Ketua PKR Sabah, Ahmad Thamrin Zaini disebut-sebut sebagai nama yang telah pun dipersetujui oleh ketiga-tiga komponen di dalam PR. Dikhabarkan juga, PAS Sabah turut terkejut dengan pengumuman nama Ansari pada hari Ahad lepas. Malah, ekoran dari ketidakpuasan hati kebanyakan ahli PKR Batu Sapi, mereka meninggalkan majlis pengumuman calon tersebut dan dilaporkan juga berlaku pergaduhan antara penyokong Ansari dan Thamrin di kawasan lapangan terbang di Sandakan sebaik sahaja Anwar menaiki kapal terbang pulang ke Kuala Lumpur bagi menghadapi perbicaraan mahkamah kes Liwat II keesokan harinya. Pergaduhan ini juga dinyatakan oleh calon SAPP yang juga Presiden parti itu sendiri, Datuk Yong Teck Lee semalam semasa berkempen di kawasan bumiputera Islam.

Penulis tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai pergeseran di dalam PKR Sabah dengan perkembangan terbaru ini tetapi mahu menulis lebih kepada impak sama ada betul atau tidak keputusan PKR untuk meletakkan calon di Batu Sapi bagi pihak PR. Sepertimana kita ketahui sebelum pimpinan utama PR menyetujui PKR menjadi calon mereka di Batu Sapi, PAS Batu Sapi pernah berkeras untuk bertanding di sana. Namun begitu, atas dasar kesepakatan dan menerima Thamrin sekiranya mewakili PR, PAS telah memberi laluan untuk kebaikan bersama.

Politik Sabah lain dari di Semenanjung Malaysia

Sebenarnya tiada masalah besar pun peribadi Ansari jika dilantik menjadi calon mana-mana pilihanraya. Hanya masalahnya ialah tempat itu sendiri. Politik di Sabah hatta di Sarawak sekalipun amat berlainan jika dibandingkan dengan di Semenanjung Malaysia. Sebelum pilihanraya umum 2008, trend mengundi di Semenanjung Malaysia masih lagi berdasarkan calon dan bangsa. Trend ini adalah kerana calon-calon yang diletakkan adalah berdasarkan komposisi kaum di satu-satu kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).Inilah bentuk pengagihan kerusi yang diamalkan oleh BN

PR akhirnya berjaya mengubah sedikit sebanyak pengagihan mengikut komposisi kaum pada pilihanraya umum lepas yang akhirnya kita dapat melihat calon yang bukan Melayu atau bukan Islam mula diterima di kawasan-kawasan pengundi Melayu/Islam terutamanya di kawasan bandar. Tetapi di Sabah, sejak dahulu lagi, corak pengundiannya amat berbeza dan sudah lama dan lebih awal lagi dari kita di Semenanjung Malaysia yang menolak corak pengundian berdasarkan agama dan kaum calon tersebut.

Sejarah politik Sabah penuh dengan warna-warni sejak bergabung dalam Malaysia. Antaranya ialah menjadi negeri yang seringkali berubah kerajaan negeri dan berlakunya lompat-melompat dari pembangkang ke kerajaan serta kemudian ada yang kembali menjadi pembangkang. Situasi ini telah menjurus kepada keadaan politik yang sukar difahami dan tidak ada kepercayaan. Dari USNO, Berjaya, PBS(BN), PBS(Pembangkang) dan akhirnya kepada BN (dengan kemasukan Umno Sabah) yang menyaksikan sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri dua tahun setiap seorang diamalkan di antara tiga kaum utama di Sabah iaitu Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Cina yang menyebabkan politik di negeri di bawah bayu itu terus sukar diramal.

Meskipun kini sistem penggiliran Ketua Menteri sudah berhenti dan Umno menjadi pemimpin ulung negeri itu, kehangatan politik Sabah masih belum dapat dijinakkan sepenuhnya. Masalah yang wujud sekarang ialah ketidakpuasan hati rakyat Sabah yang berbilang itu dengan Ketua Menteri sekarang dan ramai juga masih tidak berpuas hati sistem penggiliran itu dihentikan. Malah, Sabah adalah negeri yang mempunyai banyak parti politik kecil yang masih wujud sejak dulu seperti Berjaya, Bersekutu, Setia,Pasok Momogun dan banyak lagi yang sedang menunggu permohonan untuk diluluskan pihak Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Kembali kepada Ansari, penulis tidak melihat kemampuannya untuk menang sama-sekali di Batu Sapi. Penduduk Batu Sapi sepertimana penduduk Sabah yang lain lebih mementingkan calon yang merupakan anak negeri lebih-lebih lagi anak setempat di sesuatu kawasan tersebut. Rata-rata anak Sabah tidak melihat Ansari sebagai seorang public figure politik tempatan yang boleh dipercayai malah oleh ahli-ahli PKR Sabah sendiri jika dibandingkan dengan Thamrin yang kini menjadi Pengerusi PKR Sabah.

Maka dengan itu, calon dari BN, Linda Tsen Thau Lin dan calon SAPP mempunyai harapan besar untuk menang kerana mereka sudah dikenali sebagai anak tempatan di Batu Sapi dan Sabah, malah Yong pula adalah bekas Ketua Menteri dan mengetuai parti yang sah-sah khusus untuk menjaga kebajikan dan hal ehwal orang Sabah. Sekiranya Ansari mendapat tempat ketiga di dalam pungutan undi, maka PKRlah yang akan dianggap sebagai parti pengacau. Jika ini berlaku, maka tanggapan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini dalam media bahawa SAPP adalah parti pengacau adalah meleset dan tuduhan itu berbalik kepada diri sendiri.

Bila kita bercakap tentang jentera PKR sendiri menghadapi pilihanraya kecil ini, penulis yakin situasi semasa PRK Hulu Selangor akan berulang semula. Semasa PRK Hulu Selangor, jentera PKR Hulu Selangor sendiri dilihat sangat lemah ekoran polemik politik dalaman parti itu sendiri yang dilihat ’sengaja’ bertindak lemah kerana mereka tidak menyokong Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon. Mungkin ada benarnya ketika itu, ada tangan ghaib ketika itu di dalam PKR yang cuba menjatuhkan Zaid atas dasar masalah politik individu tertentu melebihi kepentingan politik parti. Nasib baiklah, dengan jentera PAS dan DAP yang bekerja kuat bagi membantu Zaid yang sudah kehilangan sokongan kuat dari partinya sendiri.

Di Batu Sapi pula, jentera PKR oleh cabang Batu Sapi itu sendiri yang seharusnya menjadi sekretariat jentera berkempen akan dilihat lemah dan terpaksa menggunakan tukang-tukang kempen PKR dari luar kawasan Batu Sapi sambil dibantu oleh rakan-rakan setia seperti jentera PAS dan DAP untuk membantu Ansari. Tanpa bantuan kempen yang kuat dari PKR Batu Sapi, bukan sahaja Ansari kehilangan orang-orang tempatan yang lebih mengenali politik kawasan itu malah beliau mempunyai risiko tinggi untuk kehilangan undi daripada mereka sendiri juga sebagai pengundi di kawasan parlimen tersebut. Ahli-ahli PKR Batu Sapi mungkin akan memboikot pilihanraya ini dengan memberi undi kepada SAPP. Selain itu juga, Ansari diingatkan jangan berasa selamat kerana dia adalah satu-satunya calon beragama Islam hanya kerana berada di kawasan parlimen yang mempunyai majoriti bumiputera Islam.

Isu janji autonomi amat berisiko

PKR dan PR membawa isu yang sangat berat bagi meraih undi penduduk Sabah. Selain daripada trend politik Sabah yang berbeza dengan yang ada di Semenanjung, masalah patriotik di kalangan sesetengah penduduk Sabah masih wujud walaupun sudah menyertai gagasan Malaysia lebih 47 tahun. Masih lagi ada sesetengah mereka memperjuangkan pembentukan Sabah untuk rakyat Sabah ataupun melihat Sabah menjadi sebuah republik atau negara. Oleh itu, isu autonomi yang dijanjikan oleh PR jika berkuasa di Sabah adalah isu yang amat berat. Hanya menyebut autonomi tanpa menggariskan apa yang dimaksudkan dengan tahap autonomi tersebut haruslah dijelaskan. Namun begitu, penulis yakin dalam apa jua janji PKR kepada orang Sabah, apa-apa bentuk autonomi pun tidak seharusnya timbul sama sekali sebagai bahan kempen.

Di dunia ini, kita jelas maklum beberapa wilayah di dalam sesebuah negara menuntut autonomi politik dan ekonomi daripada kerajaan persekutuan. Antaranya ialah Tibet di negeri China, Kashmir di India, Kurdistan di Iraq/Turki, Mindanao di Filipina, Acheh di Indonesia, Selatan Thai di negara Thai dan beberapa wilayah di dalam Rusia seperti Tartar, Dajestan dan Chechnya yang menuntut kuasa autonomi. Malah ada yang sanggup menggunakan taktik pengganas kemudiannya hanya untuk keluar bagi membentuk negara baru.Perkara autonomi ini perkara yang serius yang boleh membantutkan proses asimilasi kaum sebagai satu entiti rakyat Malaysia yang bersatu-padu seharusnya diterima pakai oleh semua pemimpin politik di Malaysia ini tidak kiralah dari kerajaan ataupun persekutuan.

Satu kejadian terkini mengenai isu Sabah untuk Sabah berlaku semasa pertandingan angkat berat di Sukan Komanwel baru-baru ini New Delhi yang menyaksikan seorang atlet kita sebenarnya dari Sabah ’sengaja’ memakai pakaian berlambang Sabah dan bukannya Malaysia semasa bertanding. Penafian tentangnya oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanyalah untuk meredakan api kemarahan ramai orang Malaysia tentang masih adanya sikap Sabah untuk Sabah bagi sesetengah penduduk Sabah. Tetapi itulah hakikatnya yang berlaku di negeri itu yang berlaku secara dalaman.Malah, ada yang berani mewujudkan page Facebook khas untuk mempromosi idea nasionalis Sabah bagi menarik penyokong.

Walaupun Datuk Patinggi Pehin Taib Mahmud kini mula kehilangan kekuatan sokongan rakyat di Sarawak selepas berkuasa hampir 30 tahun sebagai Ketua Menteri, namun aspek usahanya bagi mengurangkan semangat nasionalis Sarawak bagi membentuk sebuah republik di kalangan rakyatnya nampak berjaya. Kestabilan politik selama pemerintahannya berjaya mengekang usaha golongan tertentu yang cuba membawa Sarawak keluar dari Malaysia. Malah, bukan itu sahaja, beliau mampu mempertahankan bumi Sarawak daripada dijajah oleh Umno sepertimana yang berlaku di Sabah. Namun begitu, usianya yang kian lanjut dan masanya yang sudah lama menjadi Ketua Menteri seharusnya dipertimbangkannya untuk bersara kerana aspirasi rakyat hari ini adalah berbeza sekali.

Berbalik ke Batu Sapi, isu-isu besar yang boleh diketengahkan oleh PKR di Batu Sapi nanti haruslah mengenai isu sosial, politik tempatan, alam sekitar dan kewangan rakyat. Isu-isu seperti hasil balak, masalah pendatang tanpa izin, rakyat tanpa kad pengenalan, harga barangan harian yang kian meningkat, penggangguran setempat, kemudahan sekolah-sekolah pedalaman dan ketelusan kerajaan negeri di dalam pengurusan projek, tender dan juga sumber asli seperti minyak. Malah, isu-isu setempat seperti bekalan elektrik dan air , keselamatan kampung air serta jalan raya di kampung-kampung masih lagi dilihat relevan dalam konteks Batu Sapi.

PKR wajar beri laluan kepada SAPP

Sebenarnya penulis berasa sedih kerana PKR meletakkan calon di Batu Sapi. PKR adalah parti yang sangat baru dan belum dikenali di negeri itu jika dibandingkan di Semenanjung Malaysia. Hubungan PKR dan SAPP sememangnya erat terutamanya hubungan peribadi di antara Anwar dan Yong Teck Lee. SAPP memang sudah dikhabarkan akan menyertai PR sebelum pilihanraya umum akan datang. Sehingga semalam pun di satu majlis kempen Yong di perkampungan bumiputera Islam, beliau yakin akan kredibiliti Anwar untuk menjadi Perdana Menteri jika PR berjaya menawan Putrajaya. Tetapi SAPP menurutnya amat bimbang dengan ketidakstabilan di dalam PKR sendiri yang boleh menjejaskan keseluruhan PR dan beliau sendiri masih tidak nampak selain dari Anwar yang mampu memegang jawatan Perdana Menteri dari PKR sendiri andaikata sesuatu berlaku ke atas Anwar. SAPP bersifat parti politik negeri dan amat mustahil di dalam PRU akan datang SAPP akan meletakkan calonnya di luar negeri tersebut. Oleh itu, Anwar perlukan gandingan yang kuat dari pemimpin negeri itu sepertimana mereka berganding dengan parti Star di Sarawak.

Seharusnya PKR memberi laluan kepada SAPP sebagai memberikan sokongan jentera kempen kepada parti itu supaya dapat menyakinkan atau memikat SAPP untuk segera menyertai PR di atas dasar PKR yang bertimbang rasa, sedar akan konteks semasa di Sabah dan kepentingan parti negeri. Mungkin kerana ingat bahawa PKR terlalu kuat dengan hanya mengambil kira situasi di Semenanjung Malaysia bahawa angin reformasi atau perubahan sudah sampai di negeri di bawah bayu itu. Bagi penulis, itu adalah satu kesilapan persepsi yang bukan sahaja menyaksikan PKR menghadapi dilema untuk menang di Batu Sapi tetapi kini telah memecahkan PKR sendiri di negeri itu apabila Thamrin dan Ansari ,walaupun di hadapan bersalam-salaman tetapi dibelakangnya sudah wujud pasukan penyokong masing-masing yang mengutuk sama sendiri. Sepertilah di dalam persada politik nasional PKR, apabila pemimpin kanannya Zaid dan Azmin Ali boleh bersalam-salaman tetapi dibelakangnya siapa yang tahu.

Tetapi yang lebih menyedihkan penulis walaupun PKR akan tetap meletakkan calon ialah kesilapan membuat percaturan memilih siapa yang menjadi calon mewakili PKR. Membelakangi rakyat yakni ahli-ahli PKR Batu Sapi dan Sabah sendiri, Anwar yang memilih calon selain yang direstui mereka itu telah menunjukkan satu perbuatan yang dilihat tidak selaras dengan perjuangan PKR sendiri iaitu membiarkan rakyat memilih yang terbaik untuk mereka. Walaubagaimanapun, mungkin ada sebabnya Anwar bertindak sedemikian dan malah ada yang beranggapan pemilihan Ansari oleh Anwar adalah untuk memenangkan SAPP. Dengan kelemahan Ansari kononnya, pengundi tempatan yang juga ahli PKR Batu Sapi akan berpaling tadah menyokong SAPP sebagai memboikot calon PKR. Maka, Yong boleh memenangi lebih undi di dalam pertandingan tiga penjuru.

Ini bukannya pandangan penulis tetapi penganalisa politik yang lain. Dikhabarnya juga Anwar sendiri sedih dengan keputusan ahli-ahli PKR Batu Sapi dan Sabah yang masih mahu bertanding yang menyebabkan rombongannya gagal mencapai kata sepakat semasa berunding dengan SAPP awal minggu lepas. Oleh itu, Anwar dikatakan sengaja meletakkan Ansari untuk membantu calon SAPP dengan ’nasihat’ DAP. Entahlah! Benar atau tidak tanggapan berkenaan..kita lihat sahaja corak pengundian di Batu Sapi. Jika tanya kepada penulis, SAPP boleh menang! Tetapi bukan kerana ’agenda tersembunyi’ Anwar yang diomong-omongkan itu tetapi kerana senario politik Sabah sendiri dan juga kredibiliti Yong Teck Lee sendiri.

Shaharul Shafie

0 comments:

Post a Comment

Sukahati hangpa nak tulih apa pun, Jangan dok maki hamun mencarut cukuplah, hangpa semua dah besaq panjang takan nak kena ajaq kot, boleh pikiaq kot nooo...

Rakan Seperjuangan

Subscribe to updates

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP