UdangLipan. Powered by Blogger.

Monday, January 24, 2011

Pengkhianat Agama



Sebenarnya mereka ini yang tidak faham tentang ISLAM bukannya MCA

Read more...

Sunday, January 23, 2011

Di Rumah Bos... Di Pejabat Bos Juga


MEMANG jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Perkahwinan adalah penting. Ia adalah permulaan kepada pembentukan sebuah masyarakat kecil yang akan berlanjutan ke anak cucu dan turun temurun.

Oleh itu, merancangkan satu perkahwinan yang tepat dan baik adalah ikhtiar yang tidak boleh dipandang kecil.

Malah, Rasulullah SAW sudah berpesan tentang empat syarat yang perlu dilihat ketika memilih isteri iaitu harta, rupa, keturunan dan agamanya.

Namun, sanggupkah seorang suami menerima hakikat isterinya lebih berpangkat daripadanya?

Senario ini mungkin satu perkara biasa kerana lebih ramai wanita yang bergelar isteri berjaya menjawat jawatan tinggi.

Keadaan ini tentulah sesuatu yang membanggakan suami tetapi pada masa yang sama mereka bimbang jika isteri akan lupa daratan kerana terbawa-bawa dengan sikapnya sebagai bos di pejabat.

Namun, bagi isteri yang solehah, bagaimana tinggi pangkatnya tetapi apabila di rumah tugasnya tetap seorang isteri.

Bahkan, kehidupan harmoni yang berlandaskan kasih sayang akan terpancar jika wujud perasaan sayang-menyayangi dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Manakala di pihak suami pula patut menyuarakan apa yang dirasakan tidak kena kepada isterinya bagi mengelakkan sebarang kepincangan dalam rumah tangga.

Perunding Psikologi Keluarga, Suzana Ghazali menjelaskan, biarpun ada perbezaan darjat tidak bermakna mereka tidak boleh mencipta kebahagiaan.

Ia adalah acuan kehidupan yang dipilih oleh pasangan tersebut. Oleh itu kebahagiaan dan kedurjanaan dalam rumah tangga kita sebenarnya terletak di bahu kita sendiri.

“Inilah hasil daripada acuan yang kita pilih, maka sudah menjadi tanggungjawab masing-masing dalam menjalankan peranan,’’ ujarnya tegas.

Akui Suzana lagi, perkara pertama ialah sedar dan tahu kedudukan dan peranan sebagai isteri ataupun suami.

“Walaupun isteri lebih bijak dan berpendidikan, bukan bererti si isteri boleh memperbodohkan suami anda sesuka hati. Andai ditakdirkan kita sebagai ketua kepada suami di tempat kerja, tetapi di rumah pula suami tetap ketua rumah tangga.

‘‘Di pejabat kita boleh memberi arahan dan marahkan suami jika ada urusan pejabat yang tidak diurus dengan sewajarnya, tetapi harus diingatkan urusan pejabat hanyalah boleh diselesaikan di pejabat sahaja.

“Keadaan ini berbeza apabila pulang ke rumah, wanita harus berperanan sebagai isteri atau ibu.

‘‘Harus diingatkan bahawa segala yang berlaku di pejabat tidak boleh dibawa balik ke rumah.

“Kepada suami, jangan ada rasa rendah diri. Biar siapa pun anda, anda adalah suami dan ketua rumah tangga, biarpun lebih rendah tahap pendidikan dan berpendapatan lebih rendah berbanding isteri tetapi itu bukan bermakna anda boleh menjadi hamba isteri,” katanya.

Terang Suzana lagi, biarpun pendapatan si suami kurang sedikit namun ia tidak menafikan tanggungjawab si suami dan bapa.

‘‘Suami tetap wajib mengeluarkan perbelanjaan untuk menanggung segala keperluan isteri dan anak-anak. Jika isteri menghulur bantuan, ia adalah bonus tetapi sekiranya isteri anggap ia sebagai hutang maka perlu suami melangsaikan segala hutang tersebut walaupun tidak dituntut,’’ tegasnya.

Terang Suzana lagi, dalam hubungan suami isteri memerlukan keserasian begitu jua dengan kehidupan harian biarpun isteri lebih berpangkat tetapi suami tetap berperanan dalam urusan rumah tangga.

‘‘Untuk mengekalkan kerukunan rumah tangga, perkara yang penting adalah jangan mengungkit latar belakang masing-masing.

‘‘Isteri jangan sesekali menjadikan latar belakang suami sebagai senjata untuk menjatuhkan air muka dan harga diri suami,” katanya lagi.

Dalam situasi sedemikian, terimalah pasangan kita seadanya, malah jangan bandingkan pasangan kita dengan orang lain

‘‘Jangan pertikaikan ketidakupayaan suami dalam memberikan kehidupan yang lebih sempurna, inilah rentak acuan kehidupan rumah tangga yang dipilih oleh kita sendiri, oleh itu terimalah dengan hati terbuka,’’ ujarnya.

Terang beliau lagi, sebuah perkahwinan adalah satu amanah yang amat berat untuk dipikul tetapi sesuatu yang sangat mulia.

‘‘Dalam menjalinkan hubungan kita perlu ada tiga ciri utama, cinta dan kasih sayang serta komunikasi yang baik. Cinta atau kasih sayang perlu dipupuk agar terus berputik dan disuburkan,” katanya.

Read more...

Monday, January 17, 2011

Malapetaka jika Utusan pecat Hata

Esok adalah merupakan permulaan kepada hari penentu kepada Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari yang sebelum ini telah digantung tugasnya di Utusan Melayu (M) Bhd di atas dakwaan ‘mencemarkan’ imej syarikat. Rata-rata melihat omong-omong perbicaraan dalaman yang dibuat oleh pengurusan Utusan ini hanyalah sebagai satu cara langkah biasa yang perlu dipatuhi sebelum memecat beliau secara selamat dan ‘profesional’ dari syarikat berkenaan.

Langkah mengadakan siasatan secara ‘rasmi’ ini hanyalah bagi menyelamatkan Utusan daripada tersilap prosedur sehingga memberikan Hata dengan sebab yang memudahkannya untuk membawanya ke mahkamah kemudian hari di bawah perlindungan akta berkaitan dengan ‘penyingkiran konstruktif’ atau constructive dismissal.

Kemungkinan Hata dipecat adalah tinggi: Amalan ‘perbicaraan’ kosmetik ini sememangnya dijalankan di kebanyakan syarikat bagi menutup peluang atau menyukarkan sesiapa sahaja yang dipercayai menjadi ‘masalah dalam selimut’ mana-mana majikan yang bukan sahaja diamalkan oleh korporat tetapi juga perkhidmatan awam. Jika ada peluang yang lain yang lebih selamat, majikan yang mempunyai banyak cawangan operasinya, cara membuatkan kakitangannya ‘berhenti dengan rela’ ialah dengan memindahkan mereka dari satu tempat ke tempat yang lain dalam satu sela masa yang singkat agar kakitangan berkenaan berputus asa dan berhenti atas kerelaan sendiri.

Namun begitu, taktik sebegini tidak mampu lagi digunapakai oleh Utusan kerana kedudukan Hata sendiri sebagai orang yang berpengaruh dalam dunia kewartawanan di negara ini. Ini adalah kerana apa sahaja yang didedahkan olehnya akan terus mendapat perhatian terus media yang berlawanan ataupun media alternatif untuk melaporkannya.

Kedudukan istimewa Hata pastinya menggugat kelangsungan Utusan di dalam pelaporannya. Namun begitu, sejauh manakah Hata selama ini hanya memburukkan Utusan? Kita akan bincangkan nanti.

Tindakan memecat Hata dijangkakan memberikan kesan buruk kepada imej kebebasan akhbar di negara ini yang sesungguhnya kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai kepentingan majoriti di dalam Utusan Malaysia. Di saat negara berkira-kira bilakah pilihanraya umum ke 13, tindakan kembali ke belakang sekali lagi dibuat oleh BN pastinya memberi padah lebih besar jika benar PRU diadakan pada tahun ini.

Demokrasi Malaysia terus-menerus tercalar: Selain itu juga, pihak negara luar ataupun pelabur asing yang masih berkira-kira untuk menambah atau masuk melabur ke dalam negara ini pastinya melihat situasi ini sebagai satu masalah dalaman ‘demokrasi’ di Malaysia yang masih belum subur. Semasa kebebasan media dinilai oleh sebuah organisasi luar yang dikenali sebagai Freedom House pada tahun lepas, Malaysia masih ketinggalan dengan berada di tangga ke 147 daripada 196 negara yang dinilai.

Negara-negara jiran kita yang dilihat sebagai masih membangun dan kurang membangun nampaknya berada pada kedudukan yang jauh lebih baik dari kita. Antaranya ialah Filipina (kedudukan 97), Indonesia (107), Thailand (124) dan Kemboja (134). Hanya kita berada pada paras lebih baik dari Singapura yang berada di tangga 152.

Singapura adalah satu situasi yang berbeza kerana sejarah lokaliti dan saiznya yang lebih kecil di mana urusan demokrasi adalah terkawal. Malah, Singapura secara sejarahnya juga sudah pun menjadi negara maju disebabkan usaha melobi negaranya menjadi negara entreport perdagangan dan pakej ekonomi yang lebih bebas seperti negara-negara di hemisfera barat. Malah, Singapura sendiri sudah menjadi satu keperluan lokasi sejak zaman-berzaman lagi disebabkan lokasinya yang strategik di tengah-tengah kerancakan ekonomi di Asia Tenggara.

Malaysia yang mempunyai banyak pesaing ekonominya di rantau ini tidak boleh mendabik dada menjadi seperti Singapura di dalam mengawal media dan boleh menjadi negara maju dalam acuannya sendiri sepertimana Singapura suatu hari nanti. Kita yang mempunyai lebih ramai penduduk dan memerlukan banyak industri bagi menjana hasil isi rumah dan ekonomi negara maka isu kebebasan media antara bentuk KPI yang diperhatikan oleh negara-negara barat yang kaya untuk melabur (FDI).

Kebebasan media adalah KPI kemasukan FDI: Meskipun kini Malaysia berbangga kerana menjadi destinasi pelaburan dari Timur Tengah tetapi negara-negara ini yang kebanyakannya negara pengeluar petroleum akan kepupusan hasil sumber bumi itu tidak lama lagi. Ini pastinya lebih buruk apabila pusat ekonomi di Timur Tengah di Dubai kini mengalami masalah ekonomi dan gelembung hartanah yang bakal memberi kesan semula pelaburan dari negara Emeriah Arab Bersatu itu yang kini berada di luar kembali semula ke rantau itu bila-bila masa.

Bukan itu sahaja,pelaburan dari Timur Tengah sebenarnya bukan sahaja tertumpu di Malaysia tetapi sudah semakin banyak wang mereka memasuki negara-negara seperti Indonesia dan Thailand yang menyediakan pakej perlindungan pelaburan dan pulangan yang lebih baik dari kita.

Malah, mereka juga memasuki China sepertimana gelombang pelaburan yang turut dikejar oleh negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman. Pelaburan asing FDI yang masuk ke dalam negara ini telah menjunam sehingga 81 peratus pada tahun 2009. Kini di Asia Tenggara, Malaysia hanya mampu menguasai 3.75 peratus pelaburan FDI yang termasuk dari negara-negara Timur Tengah yang kaya dari sejumlah besar FDI bernilai USD40 bilion pada tahun lepas. Perkembangan ini adalah sesuatu yang mengejutka. Negara-negara jiran pula seperti Thailand menguasai 23 peratus dan Indonesia pula dengan 28 peratus menggungguli carta penarik FDI di rantau ini.

Oleh itu, negara masih memerlukan kaedah yang lebih terbuka dengan keadaan sosial termasuklah kebebasan akhbar yang dapat menarik perhatian pelaburan asing, Kita tidak boleh menafikan hakikat ini lagi apabila semakin ramai mahasiswa kita sudah menamatkan pengajian mereka hasil daripada dasar kerajaan Malaysia di dalam meluluskan terlalu banyak universiti dan kolej universiti swasta dan awam yang akhirnya graduan-graduan universiti hari ini berjumlah lebih daripada peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Bukan itu sahaja, kegagalan kerajaan juga didalam mengawal pengambilan pekerja dari negara-negara Arab dan Asia Selatan seperti India dan Pakistan di dalam sektor ekonomi teknologi maklumat, perdagangan dan kejuruteraan lebih memburukkan kadar pengangguran di dalam negara ini. Jika ini terus berlaku, nescaya Wawasan 2020 terpaksa ditunda ke 10 tahun akan datang sepertimana yang kini diakui oleh beberapa pakar ekonomi tempatan dan asing kebelakangan ini sebagai satu impian yang masih ’menjauh’.

NUJ perlu dihormati sebagai badan media profesional: Tindakan Hata yang bercakap sebagai Presiden NUJ sewajarnya dihormati kerana NUJ adalah badan yang bebas sepertimana CUEPACS yang diiktiraf sebagai kesatuan sekerja bagi kakitangan awam dan MTUC bagi kakitangan-kakitangan swasta. CUEPACS tidak dilihat ’tertutup’ mulut mereka pun apabila bercakap tentang hak mereka seperti kenaikan gaji, bonus, kritikan kepada dasar kerajaan sendiri dan sebagainya.

Walaupun NUJ tidak berbentuk kesatuan sekerja, pertubuhan ini wajar diiktiraf sebagai satu think-thank atau penasihat yang dialu-alukan oleh kerajaan sekiranya kerajaan serius di dalam memperbaiki mempertingkatkan kebebasan bersuara dan imej demokrasi negara di persada antarabangsa.

Kemusnahan kebebasan akhbar atau media ini dilihat merosak apabila negara ditadbir oleh mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, maka amat moleknya bagi kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak melihat kepada impak positif ke atas imej BN hari ini jika ruang kebebasan media ini terus diperbaiki setiap masa. Namun perkara ini seperti tidak mungkin kerana baru-baru ini pula Najib mengumumkan kepada keperluan undang-undang bagi mengawal blog dan maklumat di Internet.

Walaupun Hata dilihat mengeluarkan pandangan yang didakwa keras sebagai Presiden NUJ, namun tindakan kenyataan itu tidak boleh kita kaitkan dengan Utusan semata-mata. Ini kerana apa yang dinyatakan oleh Hata sebenarnya turut melibatkan media-media arus perdana yang lain yang condong BN. Sepertimana pepatah Melayu yang menyebut, ’Sesiapa yang makan cili, dia yang merasa pedasnya’ mungkin inilah yang membuatkan majikannya itu terasa apabila selama ini media itulah yang dilihat oleh orang ramai sebagai yang paling mendokong apa sahaja dasar kerajaan walaupun melibatkan sesuatu isu yang buruk bak pepatah Melayu ’menegakkan benang yang basah’.

Mesej keras Hata bukan untuk Utusan sahaja: Yang menghairankan kenapa pengurusan akhbar Utusan yang terlalu terasa ’panas’ dan kurang senang dengan serangan media-media alternatif menyebabkan mereka mengambil tindakan ke atas Hata semata-mata melepaskan kemarahan kepadanya adalah tidak masuk akal sama sekali. Sekali lagi, Utusan dengan degilnya dan lebih bongkak dengan merasakan tindakan mereka berada di landasan betul selama ini kini menghangatkan semula sentimen kebencian rakyat secara langsungnya kepada kerajaan pusat terutamanya di kalangan pengundi di atas pagar.

Apa yang Hata buat sebaik sahaja dipilih menjadi presiden NUJ pada bulan September lalu, beliau telah merayu kepada semua media perdana dan tidak termasuk Utusan Malaysia sahaja tetapi kepada akhbar-akhbar kerajaan seperti Berita Harian, The Star, stesen televisyen RTM, TV3, Bernama dan New Straits Times supaya menjadi lebih bertanggungjawab sebagai penyebar maklumat yang berkesan dan bukan menjadi alat propaganda kerajaan mahupun parti politik semata-mata.

Saranan Hata itu dilihat sebagai menegur media-media arus perdana itu supaya jangan mengulangi kesilapan berpuluh-puluh tahun lalu yang mana penyokong BN seharusnya menafsirkannya sebagai antara punca yang menyebabkan kerajaan BN semakin ditolak rakyat yang nampak jelas dengan tsunami politik 2008. Sewajarnya ingatan ini menjadi pedoman kepada BN supaya jangan membuat silap yang sama berulang kali lagi jika mahu terus berkuasa di dalam suasana politik dan keperluan sosial yang sudah berubah pada hari ini.

Walaubagaimanapun, tindakan Utusan amatlah dikesali. Penulis yakin kemampuan Utusan bertahan kini secara ekonominya pada hari ini adalah dengan bantuan kerajaan BN pada hari ini walaupun kedengaran suara-suara kakitangannya yang tidak berpuas hati dengan pakej gaji, kenaikan gaji, bonus dan manfaat yang diterima ekoran prestasi syarikat yang semakin buruk.

Jika dilihat pada tahap penjualan surat akhbarnya yang menjunam dengan teruknya saban tahun sejak dua tahun lalu dan keyakinan pelabur di Bursa Malaysia untuk mengumpul saham Utusan yang sangat kurang telah menyebabkan sahamnya kini menjadi saham media yang termurah dan kurang didagangkan di dalam Bursa Malaysia dengan harganya terkini 90 sen (harga mutakhir pada 14 Januari).

Mungkin sudah sampai masanya kerajaan-kerajaan PR di negeri-negeri yang kaya seperti Selangor dan Pulau Pinang ataupun ahli-ahli korporat yang pro-PR untuk mula mengumpul saham Utusan yang murah ini bagi membentuk blok minoriti dalam Utusan bagi meneutralkan sedikit-sebanyak pemberitaan Utusan yang terlalu sangat ’menyakitkan’ pemikiran rakyat yang sudah matang yang selalu dipermain-mainkan oleh bahan-bahan provokasi mereka.

(Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik, Teknologi Sains Maklumat dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com)

Read more...

Friday, January 7, 2011

Memahami Maksud Pemberitaan

Contoh: Harga RON95 kekal, maknanya akan naik

Dakwaan pembangkang kononnya penyerahan 89 pos kawalan sempadan Pasukan Gerakan Am (PGA) kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermotifkan politik, adalah tidak berasas (*1).
Semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri. Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menafikan (*2) dakwaan itu dengan menyifatkan tindakan itu ikhlas (*3) demi keselamatan dan pertahanan negara, sekaligus menjayakan (*4) transformasi kerajaan memantapkan negara ini.
MAKNA TERSIRAT:

Menurut Hishamudin Rais (Penulis blog Tukartiub) apa-apa berita yang dikeluarkankan oleh akhbar utama seperti Utusan perlu dibaca atau diterjemahkan secara negatif, perspektif bagi memahami maksud ayat.dan makna.

Makna sebenar berita di atas boleh di terjemahkan seperti berikut:

*1- tidak berasas bermakna memang ada asas kenapa penempatan perlu dilakukan untuk memenangkan BN dilokasi berkenaan.

*2- menafikan bermakna memang benar dakwaan pembangkang dengan berita tersebut iaitu untuk ada “udang disebalik mee”

*3- ikhlas bermakna memang tidak ikhlas melakukan rancangan tersebut tetapi ikhlas untuk pihak BN sahaja.

*4- menjayakan bermaksud memang ada rancangan untuk menambahkan jumlah undi pos mahupun undi hantu.

Begitulah caranya memahami maksud pemberitaan akhbar-akhbar di Malaysia.

Read more...

Wednesday, January 5, 2011

Ada baiknya Khairy ‘berehat’ dulu


Akhirnya, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dilaporkan bersedia untuk ‘berehat’ dari politik buat sementara waktu untuk beberapa tujuan dan sebab. Namun begitu, tidak mengejutkan jika Khairy yang lebih mesra dikenali di kalangan media dan ornag politik sebagai KJ yang merasakan beliau perlu berehat kerana melihat harapannya untuk maju lebih hadapan di dalam politik Umno nampaknya tidak kesampaian buat masa ini.

Sebagai ahli Parlimen Rembau untuk satu penggal, Khairy telah mengakui melalui pengumumannya di dalam Twitter dan portal-portal berita bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi tersebut di dalam pilihanraya umum akan datang dan juga kerusinya sebagai Ketua Pemuda Umno. Menjadi satu kelaziman bagi setiap Ketua Pemuda di dalam Umno sejak dahulu lagi akan meneruskan kesinambungan kuasa sebagai Naib Presiden tetapi perkara ini nampaknya tidak bagi Khairy.

Tidak dinafikan tekanan akibat dari persepsi memainkan peranan penting di dalam keputusan yang dibuat oleh Khairy. Persepsi yang dimaksudkan ini ialah Khairy tetap dilihat sebagai anak muda yang menaiki tangga politik Umno disebabkan hubungannya sebagai menantu kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Walaupun hakikat ini dinafikan, namun persepsi tersebut terlalu kuat untuk dilawan. Bukannya persepsi itu wujud disebabkan helah pembangkang tetapi tiupannya yang kencang itu bermula dari kalangan ahli Umno sendiri.

Namun begitu, ramai berpendapat bahawa tindakan Khairy adalah bijak untuk masa hadapan politiknya dan juga Umno. Ini adalah kerana jika Khairy tidak berundur maka di dalam pemilihan Umno akan datang, beliau pasti akan dicabar dan kemungkinan untuk kalah memang ada. Oleh itu, berundur sebelum ’masa terlewat’ itu adalah lebih baik untuk masa sekarang.

Jika dibandingkan dengan tugasan menjadi ketua pemuda dan kalibernya serta kelayakan menjadi pemimpin sejak dua tahun lalu, Khairy boleh dikatakan dilihat lebih baik daripada pemimpin-pemimpin Umno yang lain terutamanya di dalam turun padang bertemu rakyat. Boleh dikatakan Khairy layak dianggap sebagai antara penyumbang utama kepada kekuatan jentera parti semasa beberapa kempen pilihanraya kecil seperti di Manek Urai, Hulu Selangor, Bagan Pinang dan Galas.

Kemampuan Khairy di dalam menggembleng Pemuda Umno dan BN seperti menganjurkan BN Youth Club dan program-programnya boleh dilihat antara sumbangan besar Khairy kepada pengukuhan Umno dan BN sendiri pada hari ini. Tidak dinafikan usaha Khairy berjaya menarik sedikit sebanyak golongan belia yang sebelum ini lebih cenderung kepada pembangkang kembali menyokong kerajaan.

Namun begitu, beban persepsi ke atasnya sebagai menantu Pak Lah sukar dipadam terus lebih-lebih lagi di dalam Umno, dendam untuk menjatuhkan Khairy tetap membara sampai hari ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri seperti bimbang untuk mempertahankan Khairy walaupun beliau tahu akan kemampuan Khairy selama dua tahun ini. Malah, Najib seperti berhati-hati dan terpaksa mengikut telunjuk kumpulan tertentu dalam Umno yang dipengaruhi kuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad. Ini kita boleh nampak dengan perlantikan lawan kepada Khairy sendiri, Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Menteri yang kalah bertanding Ketua Pemuda.

Di dalam pemilihan Umno yang lepas, Khairy mencipta sejarah menjadi pemimpin termuda dilantik menjadi Ketua Pemuda Umno tetapi juga menjadi yang pertama yang tidak mempunyai apa-apa jawatan di dalam kabinet walaupun untuk jawatan Timbalan Menteri. Beliau menjawat jawatan Ketua Pemuda pada umur 33 tahun menewaskan rekod Najib sendiri yang menjadi Ketua Pemuda Umno pada umur 34 tahun.

Sememangnya dalam politik, macam-macam alasan boleh diberikan bagi menyenangkan hati orang lain. Najib dilihat sengaja menyenangkan hati Khairy dengan berkata tugasan Khairy lebih berat dalam Pemuda untuk merangkakan perpaduan dan program menawan hati para belia daripada menjadi seorang ahli kabinet. Namun, Khairy dapat menerima amanahnya dengan baik dan menerima ’musuhnya’ itu yang kalah dilantik menjadi Timbalan Menteri dengan tanpa banyak soal.

Masa hadapan Khairy di dalam politik bagi penulis adalah cerah apabila beliau sekarang mengambil keputusan untuk berehat sebentar dari politik. Terus-terang penulis boleh katakan, perjuangan dan arah wadah Umno hari ini tidak bergerak seiiringan dengan perjuangan yang digarapkan oleh Khairy pada hari ini. Melihat kepada ketiadaan konsisten dalam perkara ini, amat molek baginya berundur juga.

Di kala Umno hari ini menjadi lebih fundamental seperti PAS semasa zaman Allahyarham Yusuf Rawa dan PAS kini menjadi lebih terbuka seperti Umno zaman Tun Mahathir, perjuangan yang dibawa oleh Khairy dalam Umno nampaknya tergantung dan sukar mendapat tempat. Penulis melihat aspirasinya lebih menepati kepada usaha yang lebih liberal dan wasatiah di dalam segala-galanya. Maka perjuangannya sebenarnya nampak lebih rapat dan sesuai dengan kaedah yang diamalkan oleh parti-parti di dalam Pakatan Rakyat (PR) setakat ini.

Oleh itu, keputusannya untuk berehat ternyata bijak kerana tidak mahu terperangkap di dalam gelombang perubahan dalaman Umno di samping pihak-pihak di dalam Umno sendiri yang menunggu masa bagi menjatuhkannya habis-habisan. Setakat ini, Khairy boleh berterima kasih kepada naibnya, Datuk Razali Ibrahim yang kurang menumpukan kepada agenda politik dalaman pembangunan pemuda sendiri secara terus yang mana mungkin bagi mengelakkan pertembungan dengan Khairy yang sememangnya dinanti-nantikan oleh mereka yang anti-Khairy di dalam Umno.

Semua sudah tahu bahawa Razali ketika bertanding dahulu sebagai Naib Ketua Pemuda pada tahun 2009 bukannya dari kem yang sama tetapi dari kem Mukhriz. Namun, tindakan Razali kini yang kurang mengambil kisah pergerakan Pemuda berkemungkinan disebabkan arahan dari Perdana Menteri yang kiranya mahukan Khairy yang tidak diberikan apapun jawatan kabinet boleh melakukan tugasnya tanpa gangguan di dalam Umno.

Di dalam Umno, sebaik mana usaha Khairy tunjukkan kepada Najib masih tidak cukup untuk menghilangkan persepsi menantu Pak Lah ke atasnya. Puncanya ialah Tun Mahathir sendiri. Nama baik Khairy di kalangan ahli Umno sendiri akan lebih baik selepas ini jika Tun Mahathir sudah tiada. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa legasi ’persepsi menantu Pak Lah’ itu mungkin akan disambung oleh anaknya sendiri Mukhriz dengan beberapa pemimpin Umno yang kanan yang nampak rapat dengan Tun Mahathir sendiri seperti Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sememangnya hari ini peluang untuk Khairy majukan diri dalam Umno tidak nampak disebabkan tekanan dalaman ke atas pembangunan ’karier’ di dalam Umno. Dengan membawa dirinya melakukan sesuatu yang berfaedah seperti menyambungkan pengajiannya di bidang Doktor Falsafah dan menulis buku-buku berkaitan sosial dan ekonomi terlebih dahulu akan membuatkan rakyat terutamanya ahli-ahli Umno lupa sebentar kisah naiknya anak muda ini semasa zaman Pak Lah dan juga lebih jelas nampak kemampuannya sebagai pemimpin masa hadapan.

Apabila sampai masanya nanti selepas PhD, mungkin Khairy akan nampak semula jalan perjuangan politiknya. Tidak mustahil juga Khairy selepas ini mungkin lebih berminat untuk menyertai PR jika agenda-agenda PR hari ini mengenai rakyat adalah konsisten dan diterima pakai. Malah, dua hari lepas, Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi menjemput beliau untuk menyertai PAS kerana melihat kecenderungan Khairy mengenai politik massa.

Penulis semasa zaman Pak Lah sebenarnya amat marah dan geram kepada Pak Lah dan Khairy dengan isu-isu membabitkan Khairy dan rakan-rakannya yang digelar oleh Tun Mahathir sebagai penghuni Tingkat 4 di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika itu. Mereka ini didakwa oleh Mahathir sebagai mereka yang menguasai segala keputusan dan tindakan Pak Lah di dalam mentadbir negara ketika itu. Mungkin permainan politik Tun Mahathir mencacai Pak Lah dan menantunya akhirnya terus menjadi parut yang kekal di dalam hati rakyat terhadap kemampuan Khairy.

Namun begitu, apabila saya melihat kemampuan dan bentuk perjuangan Khairy sejak pilihanraya umum ke-12, penulis akui Khairy mempunyai bakat, ketrampilan dan kepimpinan rakyat. Bukannya penulis berkata Khairy layak menjadi Perdana Menteri tetapi Khairy layak untuk diberikan tanggungjawab sebagai pemimpin. Jika bukan sebagai Menteri pun, bermula sebagai Timbalan Menteri pun tidak mengapa.

Jika Najib boleh menjadi Timbalan Menteri termuda dalam sejarah pada umur 25 tahun, mengapa pula tidak Khairy yang kini mencecah umur 35 tahun pada 10 Januari nanti untuk memegang jawatan. Di negara-negara Barat, seperti United Kingdom sendiri, Perdana Menterinya kini David Cameron baru sahaja mencecah umur 45 tahun boleh pula diberikan kepercayaan memegang jawatan tertinggi di negara itu. Malah, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama belum lagi mencapai umur 50 tahun sudah menjadi orang yang paling berpengaruh dan kuat di dunia.

Tetapi apa boleh buat, walaupun Khairy layak secara peribadinya tetapi cara kenaikannya dulu yang menjadi persoalan yang akhirnya menjadi duri kepada usahanya untuk mara di dalam politik Malaysia. Mungkin hanya kerana Khairy anak kepada rakyat biasa dan tidak seperti Najib anak kepada Tun Razak, Khairy kena berusaha kuat lagi bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kemampuannya menjadi pemimpin. Dan perlu Khairy ingat bahawa orang Malaysia terutamanya orang Melayu ini lebih sukakan imej yang ’matured’ dan nampak tua walaupun pada umur yang muda sebagai syarat menjadi pemimpin.

Tetapi bagi penulis, nampak muda pun bukannya persoalan tetapi itulah hakikatnya di Malaysia ini yang lebih gemar melihat imej luaran walaupun matang di dalamnya. Bak orang putih berkata, ’Don’t judge a book by its cover’.

Saya harap pengumuman Khairy ini tidak mempunyai agenda tersirat. Apa yang saya maksudkan ialah mungkin Khairy mengharapkan perhatian daripada Najib ataupun menunjukkan tanda-tanda ‘merajuk’ kerana tidak mendapat apa yang dicitakan setakat ini. Mudah-mudahan, Khairy gunakan saat ini untuk pembangunan diri, agama dan juga merangka strategi baru sebelum kembali ke dunia politik baru di masa hadapan. Selamat berjaya untuk Khairy.

Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com

Read more...

Rakan Seperjuangan

Subscribe to updates

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP