UdangLipan. Powered by Blogger.

Friday, March 18, 2011

Khasiat Daun Parsli.


Tahukah anda bahawa daun parsli kaya dengan vitamin C dan mineral seperti provitamin A, B, E, K, beta kerotena, magnesium, fosforus, besi, sodium, kalium, sulphur dan kalsium.

Parsli juga boleh menyembuhkan penyakit antibarah, melindungi hati dan usus menetang barah, antireumatik, perangsang penghadaman dan buah pinggang, membuang toksin dan batu buah pinggang. Ia juga bertindak sebagai antioksidan. Selain daun parsli, bijinya juga mampu merangsang kesuburan dan membantu menentang penyakit tumor otak.


Daun parsli bagus dimakan mentah2 kerana boleh mencuci darah, melarutkan mendapan melekit dalam vena, mengekalkan keanjalan pembuluh darah, memudahkan pembuangan batu karang, dan batu dalam buah pinggang, merawat telinga yang kurang pendengaran (pekak) dan jangkitan telinga.

Oh ya.. daun ini juga berguna untuk sistem seksual dan jika dikunyah mentah2 akan menghilangkan bau busuk mulut. So.. mana yang tak sempat nak gosok gigi boleh ler tarik 2 atau 3 helai daun dan kunyah.

Selain itu daun dan akar daun parsli yang ditumbuk lumat boleh merawat kulit kepala yang gatal, bengkak, calar akibat gigitan serangga, lebam, luka atau sakit tergeliat dan jika di tampal pada payudara ia dapat menghentikan susu badan.

Daun parsli yang direndam dengan air panas kemudian diminum boleh merawat angin dalam perut, diuretik, memulihkan otot rahim, mencuci racun dan tubuh badan, melawas haid dan merawat mata merah.

Cara2 untuk membuat air teh parsli;
Ambil 4 atau 5 helai daun parsli dan 1 gelas air panas
* rendamkan daun tersebut dalam air panas selama 10 hingga 15 minit. Kemudian minum seperti biasa.

Peringatan :
Amalan memakan dan meminum daun pasrli ini tidak sesuai untuk kaum ibu2 yang mengandung atau yang sedang menyusukan bayi kerana boleh menyebabkan keguguran berlaku dan susu ibu akan berhenti.

p/s: Banyak khasiat tumbuhan dari pemberian Allah SWT. Kita jer yang kurang tahu. Jika di kaji tafsir atau ayat2 Al Quran, memang banyak terdapat kehebatan dan kegunaan tumbuh2an atau benda2 yang boleh mengubati penyakit seperti contoh buah zaitun, buah tin dan lain2... Hebat sungguh ciptaan-Nya. Alhamdulillah..

Read more...

Monday, March 14, 2011

Elok benar Akademi Fantasi ditamatkan!

Oleh SYAFIQ KAMARUL

ANTARA perkara yang wajar disyukuri ialah pengumuman bahawa program realiti TV popular Astro, Akademi Fantasia (AF) adalah yang terakhir pada tahun ini.

Sejak dimulakan pada 2003, hanya Mawi yang boleh dianggap sebagai juara yang amat berbekas dalam hati para peminat seni suara tanah air, terutama remaja Melayu Islam (ramai yang mengatakan Mawi sebagai satu fenomena, telah ditentukan rezekinya sedemikian walaupun ada peserta lain yang lebih baik, dan pernah tersingkir pada peringkat awal, tetapi dimasukkan semula).





Dalam AF3 (2005) dengan Pengetuanya, M Nasir, Mawi menjadi juara (meskipun ramai yang mengatakan suara pemenang ketiga, Felix, lebih merdu) dan penyanyi tanah air paling popular setanding Siti Nurhaliza. Sementelah selepas itu dalam album pertamanya, Yang Tercinta, Mawi turut merakamkan lagu "Lagu Jiwa Lagu Cinta" (lirik oleh Allahyarham Loloq) yang hit bersama Nasir (yang mencipta melodinya).

Bagaimanapun, secara keseluruhannya, tiada juara AF yang berjaya menjadi legenda. Seperti kata Siso (bekas ahli kumpulan Kopratasa), sia-sia sahaja jika gagal melahirkan legenda.

Mawi sendiri kian tenggelam. Auranya bukan sahaja malap, malah hampir padam. Dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010, dia langsung tidak tersenarai dalam lima calon akhir kategori Penyanyi Lelaki Popular. Yang tetap teguh dan bertahan iaah M Nasir sendiri (living legend) walaupun sejak sedekad lalu hanya muncul dengan dua buah album (Phoenix Bangkit/2001 dan Sang Pencinta/2006) sahaja – lima tahun sekali.

AF dijalankan selama tiga bulan. Cukupkah tempoh itu melahirkan yang ampuh, apatah lagi menjadi legenda - tanpa mengira siapa pengetuanya. Antara tokoh selain M Nasir yang pernah menjadi Pengetua AF ialah Freddie Fernandez, Ramli MS, Ramli Sarip, Datin Tiara Jacquelina, dan Norman Abdul Halim (Norman KRU).

Tiara sendiri mencetuskan kontroversi dan teguran penonton kerana penampilannya selalu seksi (tidak sopan) di hadapan pelajarnya, sementara Norman mengatakan dia lebih baik daripada pengetua sebelumnya (Norman menjadi Pengetua AF8-2010). AF di bawah Ramli Sarip pula dianggap paling lemah.

Mawi dianggap paling bertuah kerana sangat diminati walaupun dia juga artis "mi segera". Dia kini menjadi sebaliknya selepas menjuarai AF3 apabila tidak lagi menjadi rebutan, dan buruan media. Prestasi semakin tenggelam Mawi dikatakan ada kaitan dengan skandal cinta (?) bersama pelakon/penyanyi Diana Rafar, dan perkahwinannya dengan Ekin.

Filem lakonan keduanya, Jin Notti pula menyerlahkan betapa dia tidak boleh berlakon dengan baik. Mujur Magika (filem ketiganya, juga terbitan KRU Studios) yang diangkat sebagai Filem Komedi Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 seperti membantu dia dicalonkan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010. Skandal dan perkahwinan, ditambah dengan terbengkalainya filem Aduh Saliha, arahan M Nasir, semakin memudarkan bintang Mawi.

Aura Mawi selepas menjuarai AF3 sangat-sangat mempengaruhi dan menarik ramai remaja mahu menjadi penyanyi, serta mewah sepertinya. Kesederhanaan penampilannya ditambah dengan imej warak (Islam) sehingga timbul anggapan bahawa Mawi itu boleh diterima kerana dia "telur penyu" yang boleh dimakan, sedangkan AF adalah “penyu” yang haram dimakan oleh orang Islam. Lucu!

Namun, tidak semua mampu menjadi sepertinya. Ramai yang menyertai AF. Tetapi, ramai yang tidak menjadi sepertinya, termasuk juara AF4, Faizal, yang kini menjadi pelakon drama TV, dan filem.

Diuar-uarkan AF9 sebagai musim terakhir; adakah hanya sekadar strategi untuk menarik kembali minat penonton yang dikatakan merudum. Jadi, ia hanya gimik dan isyarat akan dteruskan? Memang elok sangat AF dihentikan, tidak kiralah terikat dengan kontrak atau tidak. Sudah terlalu ramai penyanyi di negara kita yang tidak membawa sumbangan bermakna apa-apa pun. Masih tidak cukup-cukupkah? Sudah ada Mentor, One in A Million, dan LG Star.

Tidak cukup dengan itu, ada pula Bintang Kecil di TV9 yang bertujuan mencungkil bakat penyanyi kanak-kanak, tetapi menyanyi lagu yang langsung tidak sesuai dengan usia mereka. Sepatutnya Bintang Kecil digunakan untuk mengetengahkan lagu rakyat yang lebih bermanfaat, ketimbang lsgu komersial dewasa berbaur cinta kecewa hampa memujuk rayu sendu-senduan!

Belum lagi RTM yang berterusan dengan penganjuran Bintang RTM, Bintang Klasik Nasional, dan pelbagai bintang lagi. Cuma, bintang tujuh jula juli sahaja yang belum.

AF, Mentor, dan lain-lain sebenarnya tidak peduli pesertanya akan menjadi penyanyi atau tidak. Yang penting bagi mereka ialah wang masuk menerusi iklan, dan penajaaan.

Mentor, sebagai contohnya, ada antara calon peserta diuji menyanyi di hadapan penyanyi dan komposer, Ajai, misalnya, sebagai penguji. Jika gagal menyanyi dengan baik (meskipun sebenarnya lagu itu tidak sesuai dengan suara calon peserta tersebut – bukankah penyanyi yang menghasilkan album hanya memilih (dipilih oleh penerbit) lagu yang sesuai dengan suaranya sahaja? Bukan semua penyanyi boleh menyanyikan semua lagu). Calon peserta itu gagal dan disuruh pulang begitu sahaja bersama wang tambang!

Jadi, di mana keikhlasan dan kejujuran program realiti itu? Sepatutnya lagu yang sesuai, bukan lagu yang dipaksa (wajib). Sudahlah program hiburan tidak bermanfaat, niat pula tidak baik. Stesen TV dan juri atau mentor yang mendapat "habuan". Jadi penyanyi atau tidak, engkau punya pasallah!

Sebenarnya, yang lebih penting ingin dipersoalkan dalam tulisan ini ialah sejak 2003, telah sekian banyak wang remaja Melayu Islam mengalir ke dalam kantung pemilik Maxis, Tan Sri Ananda Krishnan.

Tidak kira siapa pengetuanya, AF wajar dihentikan. Lucu pula ada yang menganggap penganjur tiada semangat patriotik kerana melantik seniman Indonesia sebagai Pengetua AF9. Sejak bila pula AF merupakan program yang (bertujuan) menyemai patrotisme?

AF akhirnya hanya melahirkan ramai pelakon dan pengacara TV atau penyiar radio swasta. Ramai johannya yang tidak ke mana-mana sebagai penyanyi. Selain Faizal, Vince (juara AF1), Zahid (AF2), serta finalis seperti Marsha Londoh yang akhirnya menjadi pelakon.

Cuma, yang nampak lebih positif sedikit ialah finalis AF1, Farah yang kini menjadi pengacara program Nasi Lemak Kopi O di TV9 (bergandingan dan sering diusik oleh Aziz Desa). Lebih menariknya, Farah bertudung dan mahu kekal begitu.

Read more...

Wednesday, March 2, 2011

Generasi Akan Datang..????


"Saya sampai ke sekolah anak saya pukul 6.30 petang. Banyak kenderaan sudah beratur panjang bergerak sedikit demi sedikit untuk mengambil anak masing-masing. Saya melihat ke luar tingkap. Melihat telatah anak-anak sebangsa dan seagama yang sedang menunggu ibubapa masing-masing. “Oh ALLAH, KAU peliharalah mereka semua, amin…”

Tiba-tiba, saya terpandang 2 orang budak lelaki berumur dalam lingkungan 7 tahun berkejaran di tepi jalan. Lebih mengejutkan, apabila salah seorang darinya menjerit sekuat hati:

“F*ck kau. Babiiiiii!!!!” sambil membaling batu kecil ke arah rakannya itu. Selepas itu dibuatnya pula isyarat tangan yang memberi maksud mencarut.

Astaghfirullah, terkejut saya dibuatnya. Mata saya memandang ke kanan dan ke kiri untuk mencari ibubapanya. Tetapi tidak kelihatan. Belum sampai lagi agaknya.

Dalam hati saya berkata: “Astaghfirullah. Siapalah mak ayah budak ni. Dari manalah dia belajar ni semua?…”

Selepas beberapa saat, barulah saya fikirkan faktor lain. Mungkin faktor TV, internet, kawan dan lain-lain lagi. Saya cuba memadam tanggapan pertama yang masuk ke minda saya. Ah, takkanlah mak dan ayahnya ajar perkara-perkara negatif seperti ini. Tidak mungkin. Jika tidak ajar, mungkin dia tiru. Oh, harap-harap budak itu tidak mewarisi perbuatan-perbuatan buruk dari mak dan ayahnya.

Pengajaran utama

Semua orang tahu bahawa apa-apa perbuatan yang buruk dari ibubapa tentunya akan diwarisi oleh anak-anak. Dan semua tahu juga bahawa anak-anak ini tidak bersalah (innocent). Faktor sekeliling seperti ibuabapa, media, keluarga terdekat dan rakan-rakan akan bisa terpercik memberi warna kepada anak-anak. Anak-anak ini putih asalnya…

Lihat ini: http://muzir.wordpress.com/2008/07/28/kanak2-selalu-meniru-orang-dewasa/

Pengajaran utama yang tiba-tiba terdetik ke dalam minda saya di dalam insiden di atas ialah reaksi saya sendiri terhadap perbuatan budak itu. Iaitu dengan tiba-tiba segera mengaitkan itu dengan ibubapa mereka tanpa sengaja. Mungkin itu respon automatik dan luar sedar. Kemudian barulah lain-lain faktor datang ke minda yang mungkin menghasilkan insiden di atas.

Itulah lumrah masyarakat. Kebaikan dan keburukan perbuatan anak-anak sering dikaitkan dengan ibubapa. Memang tidak dapat lari dari tanggapan ini. Saya yang juga merupakan bapa, tiba-tiba insaf dengan insiden di atas. Terpamer wajah anak-anak saya di minda, entah apalah yang kalian perbuat sekarang ini.

Alangkah malunya saya sekiranya anak-anak saya melakukan perbuatan yang buruk dan melanggar disiplin. Kemudian segera dilemparkan kesalahan itu ke atas saya. Sedangkan saya sudah ajar dan didik anak-anak sesuai dengan apa yang saya tahu dan amalkan.

Justeru, saya mesti memastikan bahawa anak-anak saya dididik dengan baik sesuai dengan kehendak agama. Bukan sekadar ajar, malah mesti juga saya dan isteri sebagai ibubapa menunjukkan contoh yang soleh. Dan juga, mesti mengawal media yang masuk ke dalam minda anak-anak.

Tidak kurang penting, rakan-rakannya juga mesti saya pantaui supaya mereka tidak berkawan dengan orang-orang yang buruk akhlaqnya. Selebihnya, saya serahkan kepada ALLAH diiringi do’a kepada Yang Maha Mengawal dan Menentukan.

Keburukan anak-anak bukan sahaja boleh mencalitkan malu ke muka ibubapa, malah yang paling menggerunkan ialah jika akibat perbuatan anak-anak kita itu mengheret diri kita ke neraka untuk disiksa, na`udzu billahi min dzalik!

Semoga kita semua diberi hidayah dan taufiq supaya dapat menumpukan perhatian yang sungguh-sungguh terhadap pendidikan dan tarbiyah anak-anak. Mereka adalah waris kita. Bukan sahaja waris kita di dunia, bahkan waris kita yang bisa memberi manfaat buat kedudukan kita di akhirat kelak.

Kepada anak-anak sekalian, semoga kalian semua menjadi hamba ALLAH yang soleh. Diberi hidayah dan taufiq oleh ALLAH sepanjang masa, ditetapkan kalian di atas agamaNYA, amin…

WAllahu Ta`ala A`lam.

- muzir.wordpress.com

Read more...

Rakan Seperjuangan

Subscribe to updates

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP