5A vs 5E
Tahniah kepada 48, 171 pelajar sekolah rendah berjaya meraih keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah semalam. Pelajar gembira, ibu ayah tumpang ceria begitu juga para guru.
Manakala lebih 3,000 pelajar mendapat keputusan 5E, usah bersugul. Peringatan sama juga disasarkan kepada guru dan ibu bapa mereka. Saya percaya pelajar terbabit bukan dungu. Keluarga dan guru perlu menilai semula faktor penyebab mereka mendapat keputusan sebegitu.
Hakikatnya, segelintir pelajar pada usia 12 tahun masih tidak mengerti kepentingan ilmu lantas kurang berminat semasa belajar di dalam kelas. Kadangkala, segelintir guru pula samada secara sedar atau tidak menganaktirikan kelompok sama.
Maksudnya guru lebih cenderung memberikan tumpuan membimbing pelajar lebih cemerlang. Bukan menuduh tetapi senario itu mungkin kerap berlaku sebelum ini, kini dan di masa akan datang.
Pelajar sama juga barangkali tidak berpeluang mendapatkan latihan tambahan berbanding rakan lain. Banyak faktor penyebab, antaranya sikap ibu bapa tidak ambil pusing berhubung prestasi pelajaran anak mereka di rumah.
Perhatikan, majoriti ibu bapa berkemampuan menghantar anak ke kelas tuition. Sebahagian lagi tidak, berikutan kekangan ekonomi biarpun mereka juga berhasrat melihat anak lebih berjaya.
Kejayaan dan kegagalan pelajar dalam bidang pendidikan dilihat berhubungkait rapat dengan sikap guru dan keluarga. Jika pelajar mencatat keputusan cemerlang, sebahagian daripada kejayaan dicapai hasil titik peluh usaha gigih guru dan keluarga. Jika sebaliknya berlaku, sebahagian daripada kegagalan harus ditanggung dan dikongsi kumpulan sama.
Apapun semua harus sedar, keputusan 5A atau 5E bukan faktor penentu mutlak kejayaan atau kegagalan kehidupan anak-anak di masa hadapan. Mereka masih berpeluang memperbetulkan keadaan. Kebanyakkan mereka akan melangkah ke sekolah menengah dan berpeluang meimba ilmu di universiti.
Bagi pelajar mendapat keputusan kurang memberansangkan, jika disuntik semangat dan disokong usaha kental membimbing mereka, InsyaAllah kejayaan diburu akan menjadi kenyataan. Kepada pelajar mendapat keputusan 5A, usah cuai, ramai pelajar kita cemerlang dari aspek keputusan peperiksaan sebelum ini tetapi kemudian hancur kehidupan sewaktu dewasa akibat gagal mendepani pelbagai cabaran secara sempurna.
Ketika itu guru, ibu dan ayah sudah tiada untuk memimpin tangan mereka.
http://mazidulakmal.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment