UdangLipan. Powered by Blogger.

Wednesday, December 29, 2010

Isu Khusrin: BN Belum Belajar Dari Tsunami


Tindakan yang dibuat oleh kerajaan pusat melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara dilihat akan memberi impak kepada pemulihan persepsi rakyat kepada sejauh mana kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) itu selama ini belajar dari kesilapan sebelum hampir ditenggelami oleh tsunami politik 2008. Di saat Umno dan BN semakin kembali kuat dengan dasar-dasar baru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada suku ketiga tahun ini, nampaknya kerajaan kembali melakukan kesilapan lagi bagi mengambil semula hati dan keyakinan rakyat terutamanya mereka yang berada di atas pagar.

Tindakan yang dimaksudkan ini ialah tindakan perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru oleh kerajaan pusat yang tidak menitikberatkan aspek profesionalisme dan mengambil kira kesesuaian calon dengan kerajaan negeri. Bukan itu sahaja, langkah kerajaan pusat ini dikesali kerana sampai sekarang nampaknya BN masih belum sedar bahawa punca utama mereka pernah ditolak dulu adalah kerana sikap menunjuk pandai dan kuasa yang berpaksikan politik dan bukannya kepentingan rakyat.

Mungkin terghairah tidak tentu fasal dengan kemenangan di Galas dan Batu Sapi membuatkan mereka kembali membuat ’dosa’ lama.
Saya amat letih sekali kerana banyak artikel saya sebelum ini hanya mahu mengingatkan beberapa kali kepada BN bahawa Najib sendiri sebelum ini akur akan persepsi dan minda rakyat masa kini yang menyebabkan mereka hampir tersungkur dalam PRU 2008. Ini adalah kerana ketika itu, rakyat menyampah sama-sekali kerajaan BN yang mengamalkan dasar ’only we who know the best for people.’ Najib sendiri beberapa kali bercakap pada media dan rakan-rakannya dalam BN bahawa zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir.

Namun, apa yang berlaku sekarang, keangkuhan lama yang masih belum surut terus diamalkan dan janji Najib untuk tidak akan lagi mengamalkan dasar tahu semuanya itu nampaknya meleset sekali.
Tidak dinafikan sepanjang dan selepas pemilihan pimpinan PKR pusat yang lalu, selain dari program penambahbaikan ekonomi oleh Najib, persepsi rakyat terhadap pemerintah pusat nampak semakin pulih. Namun, tahap ’kemaafan’ rakyat yang pernah mengundi Pakatan Rakyat (PR) pada PRU yang lepas nampaknya semakin lusuh apabila bermula episod pertarungan tunjuk kuasa BN di Dewan Rakyat beberapa minggu lepas mengenai dakwaan PR mengenai unsur Israel yang cuba menerapi konsep 1 Malaysia telah menyebabkan empat ahli Parlimen digantung dari Parlimen.

Bagi rakyat, yang menginginkan doktrin pembahagian kuasa dengan penuh demokrasi yang sempurna dapat dilaksanakan amat kesal dan ternyata sedih dengan penggunaan kuasa politik melebihi daripada kepentingan masyarakat. Bukan itu sahaja, BN dilihat mengamalkan matlamat yang menghalalkan cara telah menyebabkan negara juga mengalami susutan kedudukan di kalangan negara dunia dari segi amalan demokrasi yang jelas secara langsungnya akan memberi kesan kepada nama baik negara dan kemasukan pelaburan asing yang kini semakin mengecil. Laporan Economist Intelligence Unit (EIU) menunjukkan Malaysia turun dari tangga 68 ke 71 di dalam prestasi indeks demokrasi dua hari yang lalu di kalangan 167 buah negara.

Dari saat penggantungan ahli-ahli Parlimen itulah, rakyat yang sebelum ini nampaknya sedia memaafkan BN sudah kembali berang dan melupakan kemarahan mereka ke atas apa yang berlaku di dalam pemilihan PKR baru-baru lagi. Mungkin penggantungan tidak demokratik itu yang tidak memberi peluang adil membela diri dan termasuklah dengan perlantikan sesuka hati KSU Selangor ini menjadi rahmat kepada PR yang sejak dua menjak ini kekurangan isu-isu panas untuk diketengahkan bagi meraih sokongan rakyat. Namun yang amat dikesalkan ialah cakap tak serupa bikin oleh BN apabila masih meletakkan kepentingan parti melebihi daripada demokrasi yang dijunjung oleh rakyat.

Malah membabitkan istana semata-mata untuk berkuasa dan kesannya rakyat mula menaruh prasangka ke atas raja-raja Melayu.
Perlantikan Datuk Mohd Khusrin Nawawi untuk menjadi SUK Selangor yang pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah, Jabatan Agama Islam Selangor dilihat sebagai satu pertikaian yang bakal membabitkan pihak istana yakin Sultan Selangor. Khusrin yang sebelum ini penuh kontroversi dan terkenal apabila gagal bekerjasama dengan kerajaan Selangor di dalam perkara berkaitan dengan agama Islam di negeri itu turut menggunakan Sultan Selangor sebagai pelindungnya dengan alasan hal ehwal agama adalah dibawah bidang kuasa sultan. Khusrin boleh diibaratkan seperti ’firaun kecil’ yang pernah berlaku di Pulau Pinang apabila Pegawai Pembangunan Pulau Pinang yang sepatutnya berkhidmat dengan kerajaan negeri tetapi lebih berkiblatkan kepada kerajaan persekutuan.

Jadi samalah dengan Khusrin.
Bila pejabat KSN dan istana Johor semalam memaklumkan perlantikan Khusrin mendapat perkenan Sultan Selangor, ini jelas usaha semborono kerajaan BN yang cuba membabitkan kedudukan istana. Sebenarnya perlantikan SUK tidak memerlukan perkenan Sultan sepertimana perkenan diperlukan untuk jawatan-jawatan tertinggi berkaitan dengan fungsi baginda dengan hal ehwal agama Islam negeri sahaja. Baginda berkuasa untuk perkenan perlantikan mufti dan lembaga pengarah untuk JAIS dan agensi-agensi berkaitan dengan agama negeri seperti Majlis Agama Negeri Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor dan lain-lain lagi.

Perlantikan SUK mestilah dipersetujui hanya oleh Menteri Besar Selangor. Ini adalah kerana Menteri Besar adalah ketua pentadbiran di dalam negeri itu. Sultan Selangor hanya lambang negeri, kedudukan Melayu dan berkuasa penuh dalam aspek agama Islam sahaja. Oleh itu, sebab kerajaan pusat mengheret baginda ini tidak nampak rasional dan apa yang boleh diandaikan ialah kerajaan pusat cuba menggunakan nama baginda sultan ini untuk dua sebab. Sebab pertama ialah untuk berlindung di belakang baginda dengan mengenengahkan baginda sebagai ’satu alat’ untuk membuatkan semua orang senyap dan terpaksa menerima Khusrin atau sebab kedua ialah BN menggunakan situasi ini untuk memburukkan imej kesultanan Selangor di kalangan rakyat jelata.

Ini benar kerana sejak dahulu lagi di bawah Tun Dr Mahathir, BN selalu mencabar kedudukan raja-raja Melayu secara halus untuk tujuan politik nasionalis mereka termasuklah pengurangan kuasa raja-raja.
Tidak dinafikan keputusan akhir perlantikan SUK memang terletak di tangan kerajaan pusat. Oleh itu, kerajaan pusat BN haruslah membuat keputusan berdasarkan profesionalisma dan kebaikan rakyat. Apa yang saya maksudkan di sini ialah pejabat KSN kena letakkan faktor keharmonian pentadbiran negeri sebagai matlamat utama. KSN yang sesungguhnya dipengaruhi oleh Perdana Menteri kena akur bahawa bagi mencapai keharmonian ini, SUK yang dilantik mestilah seseorang yang boleh bekerja dengan kerajaan negeri tidak kiralah dipimpin oleh BN ataupun PR. KSN tidak boleh mengamalkan untuk kepentingan bosnya di Putrajaya sahaja.

Matlamat beliau seharusnya adalah untuk kebaikan rakyat. KSN dan kerajaan pusat kena akur pilihan rakyat Selangor yang memilih PR sebagai kerajaan negeri. Kerajaan pusat kena letakkan kepentingan sosial dan rakyat melebihi impian politik ataupun dendam kesumat politik mereka. Jika BN mahu mengambil hati rakyat yang menolaknya dahulu sewajarnya berprofesionalismalah dalam perkara ini. Biarkan calon yang boleh bekerja dengan kerajaan PR kerana inilah meletakkan Najib bukan sebagai ahli politik tetapi seorang negarawan di mata rakyat kelak. BN kena tahu bahawa penolakan ke atas mereka semasa Tsunami 2008 disebabkan oleh luka di hati rakyat yang mana luka yang sembuh meninggalkan parut.

Parut yang ada boleh terluka semula sekiranya BN masih kekal angkuh dan lupa janjinya untuk tidak lagi bertindak sebagai ’mereka yang tahu segala-galanya’. Bagi kerajaan PR pula, sememangnya apa yang terjadi ini menjadi satu rahmat kepada mereka bagi memainkan isu ini di kalangan rakyat supaya api kemarahan 2008 itu kembali menyala semula lebih-lebih lagi pilihanraya umum ke 13 sudah semakin dekat.
Najib dijangkakan tidak akan menghabiskan penggal Parlimen atau mandat PRU-12 sepenuhnya 5 tahun sehingga tahun 2013. Ini kerana semua ahli ekonomi sudah bersependapat bahawa keadaan ekonomi global dijangkakan menguncup semula pada suku kedua atau ketiga tahun hadapan.

Dan di kala penguncupan ekonomi ini mengambil masa hampir 2 tahun untuk pulih semula, maka Najib tiada pilihan lagi untuk membubarkan Parlimen sebelum pertengahan tahun hadapan.
Sudah menjadi kelaziman, sesuatu pilihanraya terbaik kepada parti pemerintah adalah dilakukan semasa keadaan ekonomi yang stabil dan amat buruk sekali padahnya jika dilakukan semasa ekonomi meleset. Oleh itu, Najib harus sedar api kemarahan di atas kedangkalan pentadbirannya mengasingkan elemen politik dan pentadbiran akan memberi kesan yang mungkin lebih teruk lagi jika dibandingkan semasa PRU yang lepas.

Ketirisan dalam salahguna kuasa tidak sahaja tertakluk kepada penggunaan wang. Episod kedegilan BN meletakkan SUK pro-BN adalah satu bentuk ketirisan atau penyalahgunaan kuasa melibatkan kuasa. Sudah banyak kali BN menafikan pilihan rakyat ke atas apa yang mereka mahukan. Sebelum ini, jawatan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di peringkat negeri yang merupakan jawatan pentadbiran awam telah dipolitikkan oleh kerajaan BN pusat. Contohnya, Ketua Perhubungan Umno Kedah dilantik menjadi ketua MKN negeri sedangkan yang layaknya ialah kerajaan negeri yang dipilih rakyat iaitu kerajaan pimpinan PAS di Kedah. Sepatutnya jawatan-jawatan sebegitu secara automatiknya diberikan kepada siapa sahaja yang menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri tidak kira dari parti mana sekalipun.

Bukan itu sahaja, MKN mempunyai sumber utama bagi membantu malapetaka besar yang sudah termaktub di dalam perjanjian pusat dan negeri bahawa MKN akan mengeluarkan semua bantuan dan bukannya negeri. Apa yang berlaku dalam banjir besar Kedah yang lalu yang sengaja dimainkan oleh media kerajaan menunjukkan kerajaan PAS Kedah lemah akhirnya menjadi senjata yang makan tuan apabila rakyat yang sudah ramai yang pintar dan berpendidikan tinggi sudah lebih awal faham situasi siapa yang sebenarnya ada ’kuasa dan wang’ dalam isu malapetaka sebegitu.

Perkara macam inilah menyakitkan hati rakyat yang sudah pandai dan geram apabila kerajaan pusat memperkecil-kecilkan mereka dengan bertindak seperti ’Profesor Serba Tau’ segalanya.
Saya yakin Khusrin akan tetap menjadi SUK Selangor dan kerajaan PR Selangor terpaksa menerimanya kerana seperti biasalah kerajaan Najib tidak akan beralah. Namun begitu, Menteri Besar dan pimpinannya di dalam negeri terkaya di Malaysia itu boleh gunakan cara lain untuk memperkecil-kecilkan peranan SUK tajaan kerajaan BN itu. Dengan bajet yang ada mereka mampu mewujudkan satu jawatan pegawai khas kepada Menteri Besar.

Apa-apa fungsi pentadbiran mengenai isu-isu dalam negeri itu seperti kerajaan tempatan, air ,sumber asli dan lain-lain lagi boleh dipengerusikan oleh pegawai khas ini menggantikan SUK ini dan segala surat-menyurat ditandatangi oleh pegawai khas ini adalah di atas nama Menteri Besar untuk sebaran perkhidmatan awam kerajaan negeri.


Dengan cara ’memboikot’ ini boleh memberi tekanan kepada Khusrin sendiri. Biarlah Khusrin pergi bermesyuarat di Putrajaya dengan KSN setiap bulan tetapi tiada kuasa di negeri dan maklumat cukup tentang pentadbiran negeri. Tidak payahlah saya huraikan bagaimana mahu memboikot SUK tajaan BN ini oleh pihak PR kerana saya tahu pimpinan PR kerajaan Selangor lebih mengetahui cara yang terbaik asalkan berlandaskan undang-undang dan peraturan tubuh pentadbiran negeri.

Walaubagaimanapun, poin yang menyebab saya kesal sangat sebagai salah seorang yang berada di atas pagar semasa PRU yang lepas ialah BN masih gagal perbaharui pendekatan politiknya dan masih menggunakan kuasa untuk mendapat apa sahaja yang diidamkan yang menyalahi norma-norma demokrasi. Amat geram sekali apabila BN masih tunjuk pandai dan memperbodoh-bodohkan rakyat serta belum serik lagi dengan tsunami melanda mereka suatu masa dahulu.

Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di
rashidzack@yahoo.com

1 comments:

otaklunyai December 29, 2010 at 10:03 AM  

Susahlah rakyat kerana masih ada pentadbir yang kurang cerdik. Rakyat nak menumpang teduh tetapi akibat dari kurang cerdiknya rakyat akan menjadi susah. Janganlah bongkak sangat dengan kuasa yang sedikit yang di berikan oleh Allah S.W.T. Semuanya akan dipertanggungjawabkan dalan kubur nanti. Gunakan akal dan budi bicara demi kesejahteraan rakyat dan negeri yang telah terbukti berjaya dikendalikan oleh PR yang memerintah dengan telus dan cekap. Allah dah berikan kebaikkan tetapi kita masih memilih kemusnahan malah menjadi punca kehancuran itu. Apalah agaknya habuan yang bakal diterima ya... Ayuh rakyat tingkatkan kesedaran untuk menilai punca kehancuran bangsa sendiri...

Ingatlah salah satu golongan yang akan keneraka tanpa hisab adalah pemimpin yang zalim...

Post a Comment

Sukahati hangpa nak tulih apa pun, Jangan dok maki hamun mencarut cukuplah, hangpa semua dah besaq panjang takan nak kena ajaq kot, boleh pikiaq kot nooo...

Rakan Seperjuangan

Subscribe to updates

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP