UdangLipan. Powered by Blogger.

Sunday, December 19, 2010

PRK Tenang penentu tarikh PRU13

Sekali lagi negara bakal melihat satu lagi pilihanraya kecil yang akan diadakan selewat-lewatnya sebelum perayaan Tahun Baru Cina tahun hadapan apabila penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Sulaiman Taha bagi DUN Tenang di Johor meninggal dunia semalam akibat komplikasi selepas berada di Hospital Pakar Ampang Puteri lebih dari sebulan yang lalu. PRK ini adalah pilihanraya kecil yang ke-14 sejak pilihanraya umum yang lalu.

Kedua-dua pihak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) dikatakan sudah bersedia menghadapi pilihanraya yang dilihat sebagai ujian kepada kemampuan mereka benar-benar menguasai undi daripada pengundi berbangsa Melayu. PRK ini juga bakal melihat bagaimana kemampuan PR untuk mengesahkan kedudukan mereka di sebuah negeri iaitu Johor yang selama ini dianggap sebagai ’tabung deposit’ atau kubu kuat BN sejak negara mencapai kemerdekaannya.

Bagi PR, sewajarnya kemenangan ke atas DUN Tenang pastinya memberikan satu impak kepada semangat baru apabila kebelakangan ini menghadapi banyak masalah dalaman dan perpecahan di dalam parti terutamanya di dalam PKR. Jika PR mampu menang kali ini bermakna hala tuju yang diwar-warkan PR untuk merampas Putrajaya di dalam PRU akan datang mungkin boleh diperjudikan semula. Malah, jika PR dapat mengurangkan majoriti yang pernah diperolehi oleh penyandangnya dalam PRU 2008 juga memberi harapan cerah untuk Putrajaya ditawan.

Tenang adalah ’maruah’ UMNO dan BN
Bagaimana pula jika majoriti meningkat semula untuk BN? Pastinya ini menjadi igauan ngeri kepada PR kerana situasi berkenaan meletakkan harapan mereka menawan Putrajaya sebagai satu perkara yang mustahil.Walau apapun, BN pastinya akan melakukan sedaya yang mungkin untuk mempertahankan maruah mereka di Tenang dengan menggerakkan semangat kemenangan besar di PRK DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada awal bulan lepas ke dalam jentera mereka di Tenang nanti.

Bagi BN, mengekalkan kotak undi Melayu di Johor sebagai miliknya akan memberi persepsi kepada umum bahawa kuasa BN amat sukar dicabar adalah suatu yang diidam-idamkan oleh BN sebenarnya.

Jika mereka kalah ataupun berlakunya penyusutan majoriti yang ada walaupun menang boleh membuatkan umum mempunyai tanggapan bahawa BN terutamanya UMNO semakin lemah. Di dalam politik Malaysia yang ramai dengan mereka yang berada di atas pagar, persepsi sebegini memainkan peranan di dalam menentukan bakal siapa yang akan menjadi kerajaan sehingga di peringkat akhir di kotak undi.

Kuasa Ketiga bertanding di Tenang?
Bagaimana dengan ’Kuasa Ketiga’ di PRK Tenang? Kemungkinan besar akan ada calon yang mendakwa diri mereka ’Kuasa Ketiga’ turut meletakkan calon. Namun begitu, persediaan dalaman mereka seharusnya diperbaiki dulu sebelum mula memikirkan tentang di sini.

Yang pastinya ’Kuasa Ketiga’ yang mungkin berminat ialah parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yang dikini dipimpin oleh bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim. Namun begitu, pelbagai isu dalaman KITA memerlukan masa untuk diperhalusi dan diselesaikan seperti penukaran nama secara rasmi dari Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) kepada KITA, organisasinya, perlembagaan parti dan pemupukan perpaduan sesama pemimpin-pemimpinnya supaya selaras dengan aspirasi Zaid.

Sungguhpun begitu, sekiranya KITA meletakkan calon, bantuan dari sebuah lagi parti yang dilihat lebih kecinaannya iaitu Parti Cinta Malaysia (PCM) sewajarnya dialu-alukan di dalam jentera kempennya kelak yang pasti menyemarakkan pertandingan tiga penjuru nanti di Tenang dan menjadi ’pengacau’ undi.

Semasa PRU 2008, meskipun BN kehilangan 5 buah negeri (sebelum Perak kembali kepada BN) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kepada PR, BN Johor masih mampu mengekalkan kekuasaannya ke atas negeri itu. Namun begitu, buat pertama kalinya dalam sejarah DUN Johor, calon-calon dari PR ketika itu membuat kemajuan apabila menambah dengan banyaknya kerusi mereka di negeri itu terutamanya DAP yang memenangi 4 kerusi. PAS pula memenangi 2 kerusi daripada sejumlah 56 kerusi DUN di negeri itu.

Daftar pemilih 2008 menunjukkan DUN Tenang mempunyai seramai hampir 50 peratus pengundi Melayu, lebih 38 peratus pengundi Cina dan lebih 12 peratus pengundi India. Jumlah pengundinya ialah 14,511 orang. Menurut daftar ini, sekiranya daftar pemilih terbaru diumumkan (yang mana penulis merasakan tidak akan berbeza sangat) merupakan satu situasi pertandingan yang adil kerana komposisinya melambangkan pembahagian populasi seperti di peringkat nasional dan juga mencerminkan senario pilihan rakyat secara keseluruhan.

Oleh itu, komposisi daftar pemilih berkenaan menjadi satu tanda jelas kepada parti-parti yang bertanding sebagai mewakili sentimen nasional di kalangan kaum-kaum yang ada. Hasil daripada PRK ini nanti memudahkan analisa pemerhati politik dan juga cerdik pandai politik mengenai persoalan-persoalan seperti kecenderungan pengundi Cina sebenarnya dalam politik, impak oleh pengundi India selepas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mengundur diri, pandangan orang Melayu mengenai ketuanan Melayu dan ketuanan Rakyat dan banyak lagi indikator-indikator sentimen yang boleh terjawab.

Tenang bakal membantu Najib tetapkan PRU ke-13
Di saat suasana politik nasional hari ini masing-masing meramalkan Datuk Seri Najib Razak akan membubarkan Parlimen sebelum penggal persidangan seterusnya bermula pada bulan Mac tahun hadapan, Tenang sepatutnya menjadi perhatian Najib sebagai menguji terlebih dahulu persepsi rakyat mengenai BN dan sambutan ke atas program-program transformasinya.

Mungkin kematian ADUN Tenang ada hikmahnya kepada BN kerana PRK yang bakal diadakan dalam masa 60 hari selepas Speaker DUN Johor memberikan notis kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) bakal membantu BN menguji kekuatan mereka sebenarnya di dalam satu PRK yang berkomposisi populasi nasional.

Hanya selepas apa sahaja keputusan selepas PRK Tenang nanti, Najib masih mempunyai masa untuk menentukan sama ada pilihanraya umum ke 13 berbaloi atau berisiko untuk dianjurkan selepas Mac tahun hadapan bersama-sama dengan pilihanraya Dewan Negeri Sarawak. Jika BN tewas di Tenang, mungkin Najib boleh biarkan Sarawak teruskan dahulu pilihanraya negerinya. Bagi BN yang kini dilihat menguasai lebih 60 peratus undi Melayu, mereka lebih bimbangkan dengan trend pengundi bukan Melayu terutamanya kaum Cina.

Walaupun dalam PRK Galas melihat kepada pertambahan undi pengundi Cina kepada BN, perkara tersebut tidak boleh dijadikan sebagai satu petanda aras kerana semua sedia maklum hubungan baik antara Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dengan komuniti Cina yang memungkinkannya berlaku. Namun di Tenang nanti, trend pengundi Cina seharusnya tidak dilihat sebagai penanda aras terbaik tetapi boleh diterimapakai setidak-tidaknya.

Lebih-lebih lagi Tenang yang terletak di bawah Parlimen Labis yang didakwa sebagai ’kubu kuat’ Presiden MCA sendiri, Datuk Seri Chua Soi Lek dan kini anaknya menjadi Ahli Parlimen kawasan tersebut.

Sejauh mana Tenang kubu kuat Chua Soi Lek, biar rakyat tentukan
Penganalisa politik melihat selain daripada isu tsunami politik nasional melanda Labis semasa PRU 2008, isu ’disiplin’ Soi Lek juga menjadi penyebab kepada penurunan banyak majoriti BN hampir separuh ketika itu. Pengundi Melayu dan juga pengundi Cina sama-sama melihat Soi Lek sebagai seorang yang rosak akhlak dan inilah menyebabkan bukan sahaja Parlimen Labis tetapi di DUN Tenang itu sendiri, menjadi kerusi DUN yang paling banyak kehilangan majoriti di antara semua kerusi DUN yang dimenangi oleh BN pada PRU 2008 di negeri Johor.

Allahyarham Sulaiman memperolehi majoriti yang banyak pada PRU 2004 dengan memperolehi 5,507 majoriti tetapi berjaya mempertahankan kerusinya itu dengan majoritinya berkurangan sehingga lebih separuh apabila memperolehi majoriti sebanyak 2,492 undi. Situasi ini jelas sekali melihat peralihan undi besar dari kaum Cina dan India kepada calon PAS ketika itu mewakili PR.

Pastinya bagi MCA, pertandingan PRK ini bakal melihat sejauh mana Soi Lek sebenarnya diterima di negeri tersebut dan sama ada rakyat sudah memaafkan ’kecurangannya’ di dalam aktiviti yang dilihat rakyat sebagai tidak sihat itu. Penulis menjangkakan isu pita kontroversi seks Soi Lek pasti akan menggamatkan semula PRK Tenang nanti dan kesempatan ini bukan sahaja digunakan oleh parti lawan tetapi juga oleh pihak-pihak dalaman partinya sendiri sebagai menekan Soi Lek sepertimana yang mereka pernah buat dahulu untuk menjatuhkan Soi Lek sebagai Naib Presiden MCA pada tahun 2007.

Peluang PR lebih baik dengan PAS
Bagaimana dengan peluang PR? Sebelum menghuraikannya, jika diikut resam pembahagian kerusi di antara komponen PR, komposisi kaum di dalam daftar pemilih menjadi petunjuk. Sebelum ini, PRU 2008, PR meletakkan calon PAS yang mana sepatutnya mengikut pembahagian komposisi, PKR lebih berhak meletakkan calon sebenarnya.

Namun begitu, sehingga kini, dilaporkan bahawa PAS Johor dan PKR Johor masing-masing dikatakan cuba melobi untuk meletakkan calon di kerusi tersebut dan usaha ini dilakukan sejak mereka mendapati Sulaiman berada dalam keadaan ’kritikal’ di hospital. Tidak dinafikan ada kemungkinan PKR akan bertanding di sana tetapi tidak menolak jika PAS kekal di sana bergantung kepada apa yang difikirkan dalam benak fikiran pemimpin PR dan persetujuan mereka.

Di dalam keadaan PKR yang baru sahaja tamat pemilihan pimpinannya pada bulan lepas dan hasil darinya menyebabkan perpecahan dan masalah dalaman kini berlaku di dalamnya, bagi penulis, PKR seharusnya membiarkan PAS kekal meletakkan calonnya di situ. Maafkan saya jika terpaksa berkata, andaikata saya diberi pilihan sama ada PKR atau DAP meletakkan calon di Tenang, saya terpaksa menolak PKR dan terpaksa memilih DAP.

Ini menggambarkan betapa gerunnya saya akibat masalah dalaman PKR yang mampu menggugat kemenangan PR. Tetapi dalam kes ini, PAS adalah calon terbaik jika dilihat pada senario dan tanggapan umum ke atas masalah dalaman PKR walaupun pemimpin PKR dilihat seperti menafikan pergolakan dalamannya di kaca mata rakyat. Dan penafian inilah meresahkan rakyat dan penyokongnya kerana pemimpin utama PKR.

Kesilapan PKR memilih Chua Jui Meng sebagai Ketua PKR Johor
Walaupun tiada masalah dalaman di dalam PKR sekali pun, saya masih memilih PAS. Anda mahu tahu kenapa? Mungkin ramai tidak sedar bahawa keadaan di dalam PKR Johor sendiri dan penerimaan rakyat Johor ke atas PKR masih jauh lagi rendah. Saya boleh katakan semakin teruk apabila PKR tidak sensitif kepada ’ketuanan Melayu’ yang wujud di negeri itu.

Sebagai sebuah negeri yang menjadi kubu kuat UMNO, kesilapan besar PKR adalah melantik bukan Melayu sebagai Ketua PKR negeri. PKR telah melantik bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng menjadi Ketua PKR negeri. Kita tidak bercakap tentang hak Chua ataupun orang Cina memegang jawatan tersebut tetapi kita bercakap tentang situasi sebenar di negeri yang majoritinya orang Melayu yang kini UMNO berbangga kerana menguasai lebih 60 peratus undi Melayu.

Oleh itu, penulis berharap pemimpin kanan PAS dan DAP supaya faham akan realiti semasa dan tidak membiarkan lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mungkin mendesak mereka menerima PKR sebagai calon di Tenang. Jika PAS dan DAP benar-benar mahu menyelamatkan kemampuan dan persepsi umum ke atas PR yang kebelakangan ini banyak menurun disebabkan masalah dalaman PKR, maka PAS dan DAP perlulah berkata ’Tidak!’ untuk kali ini.

Chua Jui Meng sebagai calon PR?
Saya melihat ada kemungkinan Anwar berhasrat untuk menjadikan medan Tenang ini untuk mengenengahkan Datuk Chua Jui Meng sebagai calon. Meletakkan beliau sebagai calon tidak salah kerana ini negara demokrasi tetapi satu langkah ke belakang jika melakukannya di kerusi DUN yang ramai Melayu yang kini kukuh bersama UMNO dan BN. Jui Meng mungkin mampu menarik undi orang Cina tetapi menarik undi orang Melayu dilihat sebagai sesuatu yang mustahil dalam senario semasa.

Namun begitu, dasar PAS yang lebih liberal bukan sahaja menarik undi orang Cina tetapi sekurang-kurangnya dapat menarik sebahagian daripada undi Melayu jika dibandingkan dengan kemampuan PKR sendiri walaupun PKR meletakkan calon Melayu dan bukannya Jui Meng. Bukan itu sahaja, PKR akan lebih bermasalah untuk meyakinkan pengundi sekiranya AKIM@KITA memasuki gelanggang lawan. Yang pastinya Zaid mempunyai sebab, bukti dan hujah politik bagi membongkarkan masalah dalaman PKR di dalam kempennya.

Penggantungan 4 ahli Parlimen PR boleh dijadikan bahan kempen berkesan
Episod terbaru di Dewan Rakyat baru-baru ini yang menyaksikan penggantungan empat ahli Parlimen PR memang mampu memberi nafas politik kepada PR untuk menggunakan isu-isu mengenai salahguna kuasa doktrin pengasingan kuasa, APCO-Israel, Speaker Dewan Rakyat yang tidak adil dan sebagainya bagi meningkatkan semula waima perjuangan keadilan dalam diri rakyat yang kembali terpendam sejak setahun lalu.

Namun, calon PAS adalah lebih mampu dan sesuai menggunakan kesempatan isu Dewan Rakyat itu untuk menarik sokongan orang Melayu di Tenang terutamanya mereka yang berada di atas pagar yang pernah mengundi PR semasa PRU 2008. Apa yang PAS perlu lakukan sekarang bersama-sama dengan komponen lain dalam PR ialah memainkan semula sentimen rakyat supaya meningkat ke tahap ’rakyat penentu’ seperti semasa di PRK di Batu Gantang iaitu selepas beberapa bulan BN menguasai DUN Perak dengan cara yang diragui.

Andaikata PR tetap mahukan calon dari PKR, isu dalamannya yang berlaku sebelum ini tidak cukup bagi mengambil kesempatan dalam menyemarakkan gelombang rakyat kali ini, maka PAS adalah jentera terbaik buat masa sekarang. Namun begitu, secara jujurnya, jika PR dapat mengurangkan majoriti BN sudah cukup baik kerana ini mampu memberi semangat baru kepada PR dan menakutkan BN. Sekiranya PR menang, ia adalah satu bonus besar di dalam merealisasikan impian Putrajaya nanti.

Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi dirashidzack@yahoo.com

0 comments:

Post a Comment

Sukahati hangpa nak tulih apa pun, Jangan dok maki hamun mencarut cukuplah, hangpa semua dah besaq panjang takan nak kena ajaq kot, boleh pikiaq kot nooo...

Rakan Seperjuangan

Subscribe to updates

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP