Nizar - Perkataan ALLAH Hak Eksklusif Orang Melayu - malaysiakini
Sungguh malang!!!
Kekuatan yang ada pada kita semakin lemah dan bertambah teruk. Betapa bijaknya masyarakat Melayu menyimpan Islam pada diri mereka, kali ini pula mereka mahu menguasai istilah Allah sebagai hak milik eksklusif mereka.
Islam yang ada pada kita tidak diserbarkan, "Cantik terpelihara" di kalangan masyrakat Melayu sehingga majoriti Cina dan India masih lagi tenggelam dalam agama syirik mereka. Buktinya, lebih lima puluh tahun kita merdeka, pola kaum dan anutan di Malaysia hampir tidak berubah. Bukankah Islam itu milik semua, tak mengenal Cina, India, Arab atau pun Melayu?
Di Malaysia, secara dasarnya, mana agenda dakwah kepada bukan Muslim? Kita sendiri, bagaimana pandangan kita terhadap jiran dan kawan yang belum Islam , ada kita rancangkan sesuatu ? Kalau ada Alhamdulillah. Kalau tak ada, cepat-cepatlah bersedia mencari jawapan di hadapan Allah nanti, bila jiran atau kawan kita mengadu pada Allah yang kita tidak berusaha pun untuk selamatkan aqidahnya, sewaktu dia hendak dihumban kedalam neraka. Mungkin kita yang dulu ditariknya, na'uzubillah.
Realiti kita masyarakat Melayu - "Islam adalah untuk kita sahaja". Iman adalah milik kita, istilah Allah pun hak kita, pinjam pun tak boleh. Betapa eksklusifnya kita menyimpan nama Allah. Sampai terpaksa dibahaskan dalam Parlimen... nak simpan ka, nak syer ka? Inilah keadaan kita, bila kita dah lama tinggalkan tugas dakwah kepada bukan Islam, sekarang kita rasa janggal dan pelik untuk memulakannya.
Dakwah kepada Cina, India, Kristian, Hindu dah tiada lagi...! Dan lebih malang lagi, kita pula jadi takut bila mereka mahu mengggunakan nama Allah dalam tulisan dan kitab mereka. Sepatutnya kita bersyukur bila mereka mahu menyebut dan menggunakan perkataan Allah. Ini Allah yang sebut, cuma kita perlu baiki aqidah mereka yang masih salah. Firman Allah dalam Surah Al-Ankabuut ayat 63, maksudnya;
“Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “ Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid).
Al-Quran sendiri tidak pernah menyanggah penggunaan nama Allah oleh kaum musyrik di Mekah, malah digunakan oleh kaum yahudi dan kristian disana. Rasulullah juga tidak melarang mereka menyebut Allah ketika berucap dengan orang beriman. Kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible, buku-buku dan doa mereka. Tiada siapa pun di kalangan para ulama kaum muslimin sejak dahulu yang membantahnya.
Allah menyebut dalam Al-Quran: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. Padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa (Surah al-Maidah ayat 73).
Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah kesilapan aqidahnya, dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga (Triniti dalam Kristian).
Saudara sekelian, bukankah penggunaan nama Allah dalam terjemahan bible nanti, akan membuka peluang bagi kita berdahwah dan membincangkan aqidah tentang Allah dengan lebih mudah? Di Sarawak sebagai contoh, pelajar kristian yang tinggal bersama pelajar Muslim, banyak yang menganut Islam bila mereka mula bertanya tentang konsep triniti (ketuhanan dalam kristian) yang amat sukar difahami.
Ramai di kalangan mereka inilah yang menjadi pendakwah gigih setelah bebas dari kekeliruan aqidah. Kenapa kita terlalu takut dengan kalimah Allah dalam bible, buku atau majalah atau penggunaan mereka dalam gereja? Adakah kita bimbang dan panik dengan remaja kita yang akan terpesong akidahnya disebabkan istilah itu. Betapa lemah dan longgarnya iman mereka. Di manakah salahnya, sehingga inilah realiti remaja atau penganut Islam sekarang? Apa tak cukupkah pendidikan di KAFA, JQAF dan berbagai lagi sehingga begitu longlai.
Apakah sukatan pelajarannya lemah, atau tanda-tanda kegagalan pendidikan agama yang ada sekarang sehingga perlu di perbetulkan segera. Pendapat saya, marilah kita kembali lihat kebelakang, apa yang Rasulullah dan para sahabatnya tunjukkan. Mereka adalah kumpulan manusia yang telah menjalani tarbiah jiwa dan sahsiyyah sehingga menjadi kumpulan manusia yang unggul, menjadi saksi kepada orang lain. Mereka terus mendidik jiwa mereka, tanpa lupa untuk mengajak dan berkongsi dengan orang yang belum berpeluang mendengar Islam dan berusaha membuka jalan hidayah untuk semua manusia.
Rasulullah adalah rahmatan lil 'alamin. Saya menyeru kepada diri saya dan tuan-tuan sekelian, Syurga Allah itu luas, janganlah kita hadkan syurga untuk diri dan keluarga kita sahaja. Mari bersih dan baiki diri, dalam masa yang sama cari dan ajaklah kawan-kawan untuk merasai kepentingan berdakwah kepada bukan Muslim. Di sini saya tidak nafikan pengislahan diri dan dakwah kepada muslimin adalah perlu dan diutamakan. Pengislahan mesti terus berjalan, namun kita tidak boleh meninggalkan mereka yang telah jauh tersesat.
Libatkan diri dengan mereka yang bekerja menyampaikan Islam kepada non Muslim. Zaman bersembunyi dah berakhir, zaman kedekut dah habis, jangan lagi simpan Islam dan kalimah Allah pada diri kita. Banyak kursus-kursus dan latihan disediakan oleh badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk dimanafaatkan. Lihatlah jiran dan kawan non Muslim kita sebagai customer atau pembantu kita untuk memperolehi syurga Allah. Buanglah rasa curiga dan persaingan bila bertemu dengan mereka.
Rasa hati dan perubahan ini perlukan banyak masa dan latihan. Kita doakan semoga banyak lagi pihak yang sedar akan kepentingan dan berminat untuk tingkatkan keupayaan diri berhadapan dengan tugasan berkongsi laluan hidayah dengan non Muslim. Hanya Allah saja yang memberi hidayah kepada orang yang dikehendakinya. Tugas dan tanggungjawab kita hanyalah menyampaikan.
Akhir kata, janganlah dakwah hanya berlaku di sekitar orang Islam sahaja. Atau pun hanya dalam surau dan masjid ketika ceramah atau khutbah . Jom kita sentuh mereka , jom kita bercampur dengan mereka, dalam batas-batas yang dibenarkan Islam. Kita akan semakin lemah jika masih tak mengajak mereka.
Jika kita benar-benar bimbangkan anak-anak remaja kita, jika kita mahu menjaga keharmonian antara kaum, dan memelihara hak-hak orang Islam, jangan tinggalkan tugas ini !!! Serulah mereka kepada Islam. Segala yang baik dari Allah jua. Mohon keampunan jika ada yang terkasar dan tak kesampaian.
Wassalamu'alaikumw..w. - Ihsan dari Muhammad Haleem.
2 comments:
Saudara sudah sesat!
Sedarlah apa yg berlaku di Indonesia sekarang. Ada Gereja Allah Trinity ada Anak Allah, Yesus. Saudara memang macam katak bawah tempurung. Inikah Saudara dan Nizar mahu? Bodohnya pemahaman sejarah Saudara. Kenapa org Romans yg memeluk Kristen dahulu dari orang Arab tak menggunakan nama Allah?
Masyarakat Melayu sudah tenat dan sempit imannya dan akan terus disempitkan lagi dgn dakyah Kristianisasi yg terbaru.
Kalau mahu berdakwah pun jgn abaikan 'common sense' sebagai Muslim dan semestinya tahu keadaan umat Islam semasa.
Patrick,
Nama anda sendiri tidak melambangkan ciri-ciri Islam.
Post a Comment