Tragedi 'Memali' - hakikat & realiti !
Gambar Hiasan dipetk daripada : http://sharpshooterblogger.
Hampir 25 tahun berlaku ‘Tragedi Berdarah Memali’. Peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Memali pada 19 November 1985 oleh Kerajaan Barisan Nasional dengan menggunakan 4,000 tentera bersenjata menyerang dan membunuh Ustaz Ibrahim Libya di rumahnya, di Kampung Memali Mukim Siong Baling Kedah. Seramai 14 ahli dan penyokong PAS syahid, 8 cedera parah parah dan 161 termasuk kanak-kanak ditahan.
Sebelum itu, pada 18 Januari 1985 tercetus pula apa yang disebut ‘Peristiwa Berdarah Lubuk Merbau’ sehari sebelum pembuangan undi pilihan raya kecil Parlimen Padang Terap. Dikatakan di mana lebih 200 ahli UMNO menyerang pekerja pilihan raya PAS di Felda Lubuk Merbau, menyebabkan 7 cedera parah, dan seorang bernama Osman Talib meninggal dunia, esok harinya.
Saya masih ingat lagi, waktu ‘Tragedi Berdarah Memali’ itu, saya dan kawan-kawan masih dalam proses mengusahakan penubuhan PAS cawangan Kampung Perlis dan Kawasan Parlimen Balik Pulau. Saya dan kawan-kawan dari KL datang dengan sebuah van Datsun berwarna putih, menyusun program dailog dan ceramah kecil di beberapa tempat dalam kawasan Balik Pulau. Selepas kira-kira seminggu di Balik Pulau kami pun pulang ke KL. Sebelum sampai di KL, sempat pula kami singgah di Cameron Highland, “Penat! Kita pun nak rehat juga, nak cari tempat sejuk, tambah sehari lagi!” kata salah seorang dari kami.
Esoknya ketika sampai di KL, rupanya ramai kaum keluarga dan kawan-kawan saya kelam kabut sedang mencari saya, termasuk ibubapa saya di Pulau Pinang. Yang di Pulau Pinang telefon ke KL, saya tiada. Yang KL hubungi Pulau Pinang, pun tiada juga. Waktu itu, telefon bimbit masih belum ada lagi. “Kenapa?” Saya tanya.
“Hang tak dengaq berita? Berlaku pembunuhan di Baling Kedah. Kami diberitahu, yang terlibat dalam kematian itu termasuk beberapa anak muda datang dengan sebuah van putih. Kami bimbang kalau hampa terlibat, Pasai aku hubungi hang di KL tak dapat!!” Kata salah sorang kaum keluarga saya di Pulau Pinang. Begitulah peristiwa kenangan dalam sejarah awal perjuangkan PAS di Balik Pulau. Roh Peristiwa Memali akhirnya menjadi pemangkin ke arah menggerakkan perjuangan Islam Balik Pulau dengan lebih mantap lagi.
Mengapa saya kata begitu?
Pertama: Kerana saya sendiri pernah bertemu Ustaz Ibrahim Libya sebelum menemui syahid. Saya bersama seorang pemimpin tinggi PAS yang diutuskan oleh PAS Pusat menemui Ustaz Ibrahim supaya menyerah diri kepada pihak penguasa. Tetapi jawabnya, tidak. Beliau tetap akan pertahankan kebenaran dan keadilan, tidak tunduk kepada undang-undang yang zalim (tangkap tanpa bicara). Kalau terjadi apa-apa, beliau memilih syahid sebagai jalan dekat menuju syurga. Walaupun beliau terkorban, namun kesan pengorbanannya adalah manfaat bagi masyarakat dan agama.
Begitu, beliau yang pernah bekerja di Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri meluahkan perasaannya kepada saya dan berpesan menyuruh kawan-kawan lain, antaranya menyebut nama seorang ustaz kawan saya, katanya, “Beritahu dia, kalau nak syahid datanglah ke sini…
Terasa bahang syahid sudah dekat. Apa lagi bila diceritakan, kira-kira seminggu sebelum itu sebuah van dipenuhi beberapa polis datang ke rumahnya. Mereka naik ke rumahnya bila dijemput. Ketika sedang berbincang, tiba-tiba di keliling rumahnya sudah dipenuhi ramai orang-orang kampung yang sangat cinta kepada beliau sebagai tuan guru mereka. Bila seorang mula bertakbir, maka disambut bergemuruh oleh seluruh orang kampong yang hadir. Memali sudah bergema dengan jeritan takbir… menyebabkan seluruh polis-polis yang datang itu terjun lari tak bertangga.
Tinggal semua senjata, tinggal kasut-kasut, cepat-cepat menaiki van balik ke balai. Besoknya wakil Ustaz Ibrahim menghantar balik semua barangan polis tersebut. Di situlah buktinya, mereka adalah pendakwah, bukan penderhaka dan pengganas. Bahkan senapang patah yang sudah diberi lesen oleh kerajaan pun diserah balik.
Kedua: Bila berlaku peristiwa Memali, kerajaan cuba menutup kisah sebenar yang terjadi. Bahkan cuba dilakonkan dan ditayang semula di tv sesudah diputarbelitkan, menyebabkan rakyat ingin tahu realitinya. Maka, bila PAS Balik Pulau adakan ceramah, sambutannya sungguh luarbiasa. Saya masih ingat ceramah yang paling dapat sambutan, ialah di Kampung Perlis bertajuk ‘Darah & Airmata di Memali’. Penceramahnya Ustaz Harun Mat Isa yang tangannya cedera (lumpuh) dalam peristiwa tersebut, menceritakan terus apa yang dialaminya.
Hingga ada beberapa kanak-kanak menghabiskan masanya sepetang, tiada kerja lain kecuali membilang berapa jumlah kereta yang lalu di depan rumahnya untuk pergi dengar ceramah PAS itu. Orang sudah tidak kira apa parti lagi, demi nak tahu yang sebenar. Di situlah simpati kepada PAS mencurah-curah, menyuburkan PAS Balik Pulau.
Antara penceramah Memali yang pernah dijemput ialah Ustaz Zaki, saya tidak tahu di mana beliau sekarang. Saudara Yusuf Husin dan banyak lagi, terutamanya dari Kedah.
Ada seseorang menjumpai saya di KL, memberi gambar-gambar syuhada-syuhada Memali yang mati tersenyum, dan kaset-kaset ceramah Ustaz Ibrahim semasa hidupnya untuk disebar dan diperjelaskan apa yang berlaku sebenarnya. Puluh ribu yang dicetak dan disebarkan. Antara tajuk kaset ceramah Ustaz Ibrahim ialah ‘Kafir dan Murtad’ dan ‘Amanat Terakhir’.
2 comments:
Siapa Perdana Menteri waktu itu?
Ya...Mahathir Mohamad. Timbalan Perdana Menteri?
Ya...Musa Hitam.
Inilah dua orang manusia celaka yang membenarkan tragedi Memali berlaku.
ajaran sesar
Post a Comment